ALOR SETAR: Seramai 10,642 individu ditahan di negeri ini bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, seramai 8,443 individu ditahan berkaitan pengambilan bahan terlarang itu, manakala 2,199 pesalah lagi terbabit dengan bekalan dadah.
Katanya, seramai 668 individu pula disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati dan 349 pesalah telah dituduh di bawah Seksyen 39C akta sama yang melibatkan penagih berulang.
“Pelbagai operasi telah dilaksanakan bagi memberkas mereka antaranya Op Tapis Khas seluruh Malaysia sebanyak empat kali, Op Tapis Khas Kedah (14 kali) dan Op Tapis Khas Daerah (29 kali),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Tambahnya, seramai 59 individu telah ditahan mengikut undang-undang pencegahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selain nilai lucut hak harta bagi kes-kes narkotik di Kedah pula berjumlah RM3.11 juta bagi tempoh itu.
Beliau berkata, lebih 100 kilogram barang kes dadah bernilai kira-kira RM355,000 dilupuskan semalam melibatkan 2,687 kertas siasatan yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman antara 2014 hingga 2022.
Dalam pada itu Fisol berkata, sebanyak 207 kes samun telah dicatatkan sejak awal tahun ini di Kedah dengan 72 daripadanya berjaya diselesaikan.
Menurutnya, beberapa kes turut melibatkan kedai-kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam dengan penjenayah biasanya melakukan perbuatan tersebut antara tengah malam hingga awal pagi.
“Kedai-kedai seperti itu sesetengahnya tidak memiliki ciri keselamatan yang baik. Walaupun ada kamera litar tertutup (CCTV), tetapi pada waktu malam hanya ada seorang saja. Ditambah keadaan sunyi, maka penjenayah sering mengambil kesempatan pada waktu itu.
“Justeru polis menasihatkan semua pemilik kedai yang menjalankan perniagaan 24 jam supaya mengambil langkah keselamatan wajar meskipun pihak kami ada melakukan rondaan di premis-premis mereka,” katanya. –UTUSAN