SHAH ALAM : Penyanyi, Liza Hanim, 44, menganggap tiada sebab untuk artis senior sepertinya berasa tercalar ego hanya kerana dinasihatkan untuk mencuba mencontohi kredibiliti persembahan artis yang lebih muda.
Menurut Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, pandangan seperti itu sepatutnya diraikan dengan positif kerana setiap penyanyi daripada era berlainan memiliki kelebihan sendiri.
“Buat apa nak rasa tercalar ego. Saya lebih suka untuk meraikan apalagi Gegar Vaganza All Stars (GV10) ini merupakan satu pentas pertandingan.
“Tak akanlah kita nak sentiasa ‘feeling’ bagus hanya kerana saya ini penyanyi senior. Setiap artis ada keupayaan masing-masing dan berjaya masuk sebagai peserta GV10 ini juga satu peluang untuk saya belajar lagi.
“Orang selalu nak curi tips daripada kita, sesekali saya pun nak curi tips daripada penyanyi lain. Tak kisahlah berapa pun usianya sebab akan sentiasa ada perkara baharu. Tak perlu terasa apa-apa, saya okey,”katanya.
Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media minggu pertama GV10 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA), di sini, semalam.
Ia bagi mengulas mengenai cadangan dan nasihat juri tetap GV, Datuk Ramli MS, supaya semua peserta GV All Stars cuba menjadikan Naqiu contoh terbaik sebagai seorang penghibur yang bijak bermain dan mengawal pentas persembahan.
Selain itu, mengulas lanjut, Liza juga bersetuju dengan Ramli bahawa Naqiu memiliki aura dan karisma tersendiri sebagai seorang penghibur.
“Naqiu memang seorang penyanyi yang sangat mengagumkan. Dia ada aura tersendiri di pentas dan kelihatan sangat bersedia.
“Bagi saya, tak salah pun jika Tok Ram minta semua peserta untuk lihat dan sasarkan sebagai kayu pengukur,”katanya.
Bercerita mengenai pemilihannya sebagai seorang daripada enam pemilik kerusi Hot Seats GV10, kata Liza, dia bersyukur kerana masih ramai peminat mengundi masuk dirinya sebagai peserta.
Jelas Liza, ini kerana sebelum ini dia sentiasa berasa rendah diri terutama apabila memikirkan kemungkinan netizen banyak memberi komen negatif kepadanya.
“Memang ada rasa tekanan itu. Saya suka jadi peserta underdog, tetapi bohonglah kalau tak rasa teruja. Ia menyuntik semangat buat saya untuk memberikan yang terbaik kepada semua yang telah mengundi.
“Sebelum ini saya ada terbaca komen-komen yang ada orang tak suka saya. Namun semua tanggapan itu lenyap apabila rupanya ramai yang undi saya masuk GV,”katanya.
Dalam pada itu, Liza berkata, sakit tekak yang dialami sejak sebulan lalu turut mengundang kerisauan buat dirinya untuk bertanding dalam GV10.
Bagaimanapun, untuk segera mengangkat bendera putih bukanlah satu pilihan kerana dia enggan mengecewakan peminat-peminat yang telah mengundi.
“Hampir sebulan juga saya batuk dan selesema. Kebetulan pula ada banyak program, namun dua minggu lepas saya hilang suara terus, risau juga.
“Saya rasa masalah kesihatan adalah apa yang paling dirisaukan oleh kesemua peserta, iyalah sebab bertanding bukan.
“Saya tahu kemampuan boleh pergi sejauh mana dalam keadaan sekarang. Ya saya akan cuba yang terbaik tetapi buat apa nak ‘bunuh diri’ sendiri,”katanya.