PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menetapkan precedent atau duluan sebagai alasan menggugurkan kes mahkamah.
Katanya, Peguam Negara selepas ini akan dijadikan perisai utama apabila kes rasuah digugurkan satu persatu.
“Precedent yang jelas. Selepas ini apabila kes rasuah digugurkan satu persatu, Peguam Negara lantikan PM akan dijadikan perisai utama.
“Saya bimbang bakal kerajaan akan datang gunakan duluan ini yang dilaksanakan kerajaan reformasi. Jika dia boleh, bakal Perdana Menteri pun boleh. Masa akan menentukan,” katanya menerusi akaun Twitter beliau semalam.
Beliau merujuk tindakan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, Anwar ketika menjelaskan isu itu di Parlimen berkata, Peguam Negara memiliki budi bicara memutuskan menghentikan prosiding mahkamah termasuk kes Ahmad Zahid dan perkara itu bukan satu benda baharu kerana pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini. – UTUSAN