KOTA BHARU: Polis menahan empat suspek masing-masing berusia 25 tahun hingga 36 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang ditembak di hadapan sebuah bengkel kenderaan di Jalan Hutan Kuin, Machang dekat sini, Ahad lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, keempat-empat suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Katanya, polis turut merampas dua pucuk pistol dipercayai milik mangsa yang didakwa digunakan untuk pelbagai aktiviti haram.
“Penahanan keempat-empat suspek juga dapat merungkai beberapa kumpulan lain yang aktif menjalankan kegiatan haram terutama pengedaran dadah.
“Siasatan mendapati, kejadian tersebut tercetus selepas berlaku pergaduhan di dalam kumpulan yang dipercayai diketuai mangsa sendiri,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini. hari ini.
Muhamad Zaki berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa disahkan maut akibat terkena tujuh das tembakan di kepala dan dadanya dalam kejadian tersebut.
Katanya, siasatan lajut masih diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu.
“Pada masa sama, polis sedang memburu individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang termasuk pengedaran dadah bersama mangsa,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, seorang pemilik bengkel ditemukan maut selepas dipercayai terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah kereta dalam kejadian di hadapan sebuah premis alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.Saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut. – UTUSAN










