Pengadil Malaysia pertama guna VAR

Pengadil Malaysia pertama guna VAR

Pengadil negara, Nazmi Nasaruddin (tiga dari kanan) bersama dua pembantunya mengadili aksi Buriram United dan Zhejiang FC yang berlangsung di Thailand, semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengadil negara Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya menjadi rakyat Malaysia pertama yang mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24, mengunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam memaklumkan, Nazmi bersama pembantu Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid, menggunakan VAR ketika mengadili perlawanan di antara Buriram United dan Zhejiang FC yang berlangsung di Thailand.

“AFC (Piala Konfederasi Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), telah menetapkan syarat yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA, wajib memiliki lesen VAR. Nazmi telah memiliki lesen pengadil VAR sebelum ini melalui program latihan VAR di Arab Saudi pada Ogos lalu.

“Nazmi dan dua pembantunya itu akan terus dilantik untuk beberapa perlawanan AFC yang menggunakan VAR,” menurut kenyataan itu.

FAM juga memaklumkan, sebelum ini AFC juga telah memilih Nazmi dan dua pembantunya itu untuk ditugaskan pada Piala Asia 2023 di Qatar, pada Januari 2024.

Dalam pada itu, FAM memaklumkan pihaknya kini giat menjalankan latihan dan pendidikan VAR kepada 40 orang pengadil, yang dijangka akan tamat pada penghujung Disember ini.

“Perkembangan ini jelas menggambarkan inisiatif Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang berhasrat meletakkan FAM dan pengadil Malaysia di peringkat tertinggi di Asia dan dunia.

“Semoga pengadil bola sepak Malaysia akan terus diiktiraf di pentas tertinggi FIFA dan AFC,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN