KUALA LUMPUR: Malaysia tersingkir daripada Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia (WDFC) ke-4 setelah ditimpa kekalahan kali kedua dalam aksi Kumpulan A apabila dibelasah Jerman 0-8 di Stadium Arena UM di sini, hari ini.
Skuad bimbingan Muhamad Haris Lajid itu yang membawa misi wajib menang, mempamerkan aksi kurang bermaya sehingga membiarkan lawan mendominasi pertemuan tersebut.
Pintu gol Malaysia yang dikawal Muhammad Sulaman dibolosi pada minit ke-24 menerusi Marc Eisenberg yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti.
Usaha barisan pemain negara untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian apabila Jerman menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 setelah skuad bimbingan Frank Zurn itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Steven Nowark pada minit ke-46.
Hasrat Malaysia untuk bangkit pada babak kedua berkecai apabila Eisenberg sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan negara setelah dia menolak mudah bola ke pintu gol hanya dua minit permainan bersambung semula.
Jerman yang semakin selesa mendahului 3-0, menambah derita Malaysia dan Nowark sekali lagi muncul wira pasukannya untuk gol keempat pada minit ke-51.
Gawang Malaysia bocor lagi buat kali kelima 12 minit berselang apabila Tobias Berg menyempurnakan sepakan percuma yang terus menerjah pintu gol pada minit ke-63.
Aksi longlai anak-anak buah Muhammad Haris terus membuka ruang kepada Jerman yang turut menyaksikan Nowark dan Eisenberg mencipta hatrik apabila masing-masing menyumbat dua serta satu lagi gol.
Kekalahan 0-8 ditangan Jerman menyaksikan harapan Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya berkecai apabila Amerika Syarikat yang menewaskan skuad negara 2-3 dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu, melakar keputusan seri 0-0 menentang Mesir di Stadium UiTM.
Ini bermakna perlawanan terakhir Malaysia menentang Mesir, Rabu ini di venue sama hanya sekadar pelengkap jadual.
Muhammad Haris ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kecewanya dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya.
“Keletihan punca para pemain saya kalah, mereka tidak cukup cergas kerana hanya memiliki hari rehat selama sehari sebelum kembali beraksi menentang Jerman, hari ini,” katanya. – UTUSAN