PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan, 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69, yang kini berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya percaya kedua-dua individu terbabit di luar negara namun tidak dapat mendedahkan keberadaan mereka.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon notis merah kepada Interpol supaya menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan.
“Tindakan itu akan dibuat dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 BIL. 2/2022 di Padang Kawad, Menara Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, Muhammad Adlan dan Mansor dilapo dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.
Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Menurut Azam. SPRM juga akan memohon bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyenarai hitamkan pasport kedua-dua individu tersebut.
“Kedua-dua mereka diperlukan untuk tindakan mahkamah (pendakwaan).
“Kita telah cuba beberapa kali menghubungi mereka melalui peguam namun tiada respon. Kalau kita nak keluarkan ‘wanted list’, kemungkinan dah melarikan diri,” katanya.
Ditanya kemungkinan SPRM akan memanggil Muhyiddin bagi membantu mengesan Muhammad Adlan, Azam berkata, ia bergantung kepada keperluan. – UTUSAN