Siasatan SC babit penipuan pelaburan patuh syariah babit kerugian

Siasatan SC babit penipuan pelaburan patuh syariah babit kerugian RM1 billion diutamakan 

SIDANG media Datuk Hishamuddin Hashim, Setiausaha Agung MHO dan serahan surat permohonan maklum balas status aduan di bawah seksyen 107 A Kanun tatacara jenayah bersama dengan mangsa-mangsa penipuan syarikat-syarikat pelaburan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara hari ini.-UTUSAN/ M. Firdaus M Johari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan yang dipercayai sedang dijalankan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung kes penipuan pelaburan patuh syariah yang membabitkan kerugian hampir RM1 bilion diletakkan sebagai siasatan penting.

Perkara itu dimaklumkan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) selepas mengadakan pertemuan bersama Pengurus Besar Pejabat Pengguna dan Pelabur SC, Jawahar Ali Ameer Ali, hari ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semasa pertemuan itu, SC menyatakan komitmen untuk memastikan siasatan diteruskan dan tidak akan menutup kes.

“Saya juga bertanya adakah kes disiasat mengikut mana-mana akta di bawah SC dan jawapan diberikan bahawa masih dalam peringkat siasatan dan ia diletakkan sebagai ‘top priority’ (keutamaan).

“Bagaimanapun, jumlah mangsa ramai serta kerugian yang banyak, maka, ia mengambil masa, namun, berapa lama tempoh siasatan itu tidak dimaklumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas serahan surat kepada SC di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya menyerahkan surat memohon status perkembangan semasa mengikut Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah yang memberi kuasa kepada pengadu untuk memohon perkembangan kes.

Beliau berkata, MHO memohon supaya siasatan dipercepatkan kerana khuatir wang pelaburan mangsa akan dilenyapkan sindiket.

Malah, katanya, sindiket penipuan juga sering mengubah ‘identiti’ atau syarikat baharu untuk meneruskan penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

Kata beliau, SC diberi tempoh selama 180 hari untuk siasatan dan maklum balas sebelum tindakan peringkat mahkamah serta Jabatan Peguam Negara akan diambil jika tiada maklum balas diberikan sehingga Oktober depan.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat lebih 500 mangsa mendakwa diperdaya sindiket skim pelaburan patuh syariah membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion.

Sindiket penipuan itu menggunakan syarikat berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat ala patuh syariah dengan menawarkan skim pelaburan.

Mereka juga menggunakan nama besar dan individu kenamaan, selain menggunakan nama institusi perbankan terkemuka.

Taktik ini menyebabkan ramai tertipu kerana yakin syarikat yang mereka labur itu sah disebabkan ada sijil patuh syariah dan kebenaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN