Pesawah tarik nafas lega kenaikan SSHP

Pesawah tarik nafas lega kenaikan SSHP

PESAWAH meninjau keadaan padi yang akan mula dituai tiga minggu lagi di Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengumuman kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 setiap tan metrik berkuat kuasa hari ini cukup melegakan pesawah padi di Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tangga Batu di sini.

Rata-rata mereka menyifatkan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah wajar dan tepat pada waktunya.

Seorang pesawah Suhaimi Mustafa, 60, berkata, perkara itu sudah lama ditunggu oleh petani dan keputusan yang dibuat itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap nasib petani di negara ini.

Menurutnya, kenaikan SSHP dapat membantu petani membeli baja dan racun serta dapat meningkatkan pengeluaran dan jualan padi selepas ini. 

“Alhamdulillah bagi tiga hektar padi yang saya usahakan secara tidak langsung juga dapat menambah pendapatan berbanding pada harga RM360 per tan metrik sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi petani Sabri Yusof, 57, merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri yang mengumumkan kenaikan SSHP berkuat kuasa hari ini.

Katanya, kenaikan sebanyak RM140 itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan seluruh pesawah di Paya Luboh dan Seberang Gajah menyambut baik keputusan kerajaan itu.

“Kenaikan ini dapat membantu pesawah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi selain itu ia dapat membantu mengurangkan kos kenaikan input pertanian seperti baja dan racun,” katanya yang mengusahakan kawasan padi seluas 6.07 hektar.

Seorang lagi petani, Abdul Wahab Miran, 69, berkata, pengumuman itu menunjukkan kerajaan peka terhadap rintihan petani yang sudah lama menanti kenaikan itu.

Menurutnya, keputusan yang dibuat adalah wajar memandangkan kos sara hidup ketika ini begitu tinggi selain baja dan racun yang naik mendadak.

“Kenaikan ini dapat menampung kos mengusahakan tanaman padi dan memberikan pendapatan yang sedikit lebih buat saya menyara keluarga selepas bersara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN