Kerajaan Perlis zahirkan penghargaan, ringankan beban pesawah

Kerajaan Perlis zahirkan penghargaan, ringankan beban pesawah

RAZALI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik berkuat kuasa hari ini membantu meringankan kos sara hidup para pesawah.

Kerajaan negeri juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas pengumuman kerajaan tersebut dalam membantu para petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pengumuman itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos sara hidup pesawah yang kini berdepan kenaikan harga input pertanian dan belanja pengurusan di sektor berkenaan pada masa kini.

Katanya, kenaikan subsidi harga padi itu sangat membantu para pesawah termasuk di negeri ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan petani di negeri ini mengucapkan terima kasih atas pengumuman itu yang amat membantu pesawah bagi meringankan kos sara hidup mereka,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, perjuangan pesawah untuk menikmati subsidi padi yang lebih tinggi sejak 25 tahun lalu membuahkan hasil apabila kerajaan mengumumkan kenaikan daripada RM360 kepada RM500 bagi satu tan metrik berkuat kuasa hari ini.

Kenaikan RM140 bagi setiap tan metrik itu adalah yang paling tinggi dalam tempoh tersebut sekali gus menyuntik semangat kepada petani untuk terus mengusahakan sawah dan mengekalkan keterjaminan bekalan beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, langkah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan metrik tuaian padi mereka selepas ini.

Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, kenaikan SSHP melibatkan implikasi tambahan kewangan negara sekitar RM1 bilion setahun.

Keluasan jelapang padi negara dianggarkan 204,578 hektar di Kedah, Kelantan, Selangor, Perak, Terengganu dan beberapa negeri lain.

Kedah mempunyai bilangan pesawah paling ramai iaitu 31,820 orang diikuti Kelantan (30,610 orang), Perak (18,780 orang), Perlis (17,930 orang) dan Selangor (17,580 orang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN