KOTA BHARU: “Mana maruah bola sepak Kelantan”.
Itu persoalan yang dilontarkan oleh Mohd. Badhri Radzi atau Piya kepada pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman selepas pasukan itu dilihat sering menjadi ‘lauk’ dalam saingan Liga Super musim ini.
Pada perlawanan minggu lalu, Kelantan FC meramkan rekod terburuk dalam sejarah sejak penubuhan pasukan pada 1946 apabila dibelasah tanpa belas boleh Selangor FC 2-11 pada saingan aksi Liga Super.
Lebih memedihkan kekalahan itu berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV, malah ia kali ketiga berturut-turut mereka dimalukan selepas dibelasah 0-8 oleh Terengganu FC (9 Ogos), diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0 pada Piala Malaysia.

Piya berkata, sebagai bekas pemain Kelantan dia amat kecewa selepas melihat The Red Warriorrs (TRW) yang pernah gah sebelum ini menjadi pasukan belasahan.
“Saya tahu dia (Norizam atau Zamasaham) pemilik pasukan, namun banyak perkara yang dijanjikan tidak dilaksanakan. Perkara itu menyebabkan bola sepak Kelantan tidak dapat melangkah jauh.
“Harus diingat bola sepak Kelantan ini bukan hak individu, ia dimiliki oleh seluruh rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Piya memberitahu, tahun-tahun sebelumnya Kelantan pernah dibelenggu pelbagai masalah ‘dalaman’ namun belum pernah menjadi pasukan belasahan seperti hari ini.
Katanya, jika sudah tidak berupaya untuk memimpin pasukan dia mahu individu itu melepaskan TRW dengan kadar segera.
“Jika mahu menjual harganya perlulah munasabah. Saya yakin jika harga munasabah, ramai anak Kelantan mahu membeli pasukan ini,” ujarnya.-UTUSAN