MELAKA: Seorang pembantu operasi Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Bukit Rambai, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Fais Basir, 33, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yahama Y15ZR dalam perjalanan dari arah Taman Rambai Utama menuju ke arah Bank Simpanan Nasional (BSN) Rambai Jaya.
Katanya, sebelum kemalangan berlaku, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz ditunggangi seorang wanita berusia 25 tahun dari arah Taman Rambai Jaya menuju ke arah sebuah kilang di Cheng telah keluar simpang untuk membelok ke kanan.
“Mangsa yang sedang bergerak lurus di jalan utama tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut yang berada di tengah jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan disahkan maut di tempat kejadian manakala wanita berkenaan yang cedera di bahagian kaki dan tangan kanan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, usaha mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan sedang dilakukkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN