Kelantan FC rasai nikmat kemenangan selepas lima bulan

Kelantan FC rasai nikmat kemenangan selepas lima bulan

KELANTAN FC bergelut musim ini di saingan Liga Super.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas lima bulan menunggu, Kelantan FC akhirnya merasai nikmat kemenangan dalam saingan Liga Super sebentar tadi.

Dua jaringan Leonardo Rolon mengembalikan senyuman di wajah pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman dan ribuan penyokong Kelantan apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-0.

Ini adalah kemenangan liga pertama dicatat Kelantan FC dalam 17 perlawanan sejak kali terakhir mengalahkan Penang FC 2-0 pada 5 Mac lalu.

Kemenangan ini juga menebus kekalahan 4-2 kepada skuad Hobin Jang Hobin dalam aksi pertama, April lalu.

Lebih istimewa lagi, Kelantan FC akhirnya keluar dari dasar liga dengan naik satu anak tangga mengatasi Kuching City.

Ini adalah kemenangan kedua dicatat TRW daripada 19 perlawanan liga, sekali gus membolehkan mereka mengutip lapan mata.

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi, pemain tengah dari Argentina, Rolon membuka jaringan tuan rumah seawal minit pertama menerusi sepakan percuma dari jarak kurang 30 meter.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Negeri Sembilan cuba bangkit menggempur kubu Kelantan untuk mencari gol penyamaan untuk kembali mengikat perlawanan.

TRW tidak berdiam diri dan terus berusaha menggempur kubu pelawat untuk menambah jaringan, namun beberapa peluang terbaik tidak dapat diterjemah ke dalam bentuk jaringan akibat ketumpulan jentera penyudah.

Rolon sekali lagi muncul sebagai watak penting apabila rembatan jarak jauhnya, kali ini dari jarak 25 meter menerjah tepat ke penjuru kanan gawang skuad Hobin Jang Hobin pada minit ke-30 sekali gus menambah koleksi jaringan peribadinya.

Bermula babak kedua, Negeri Sembilan yang dibimbing K. Devan tampil lebih garang apabila berterusan memberikan tekanan ke kubu Kelantan untuk mencari gol bagi merapatkan jurang jaringan.

Begitupun, ketumpulan penyudah terus menghantui kem pelawat di samping kekentalan barisan pertahanan tuan rumah menyerap tekanan dan menafikan setiap percubaan.

Skuad kendalian Angel Alfredo Vera terus mengekalkan disiplin bertahan untuk mempertahankan kelebihan dua gol dimiliki sambil terus mengintai peluang menambah jaringan.

Memasuki penghujung masa kecederaan Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Mohammad Hariz Kamarudin diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua.

Kemenangan kedua selepas mencatat 15 kekalahan itu menyaksikan TRW mendaki satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-13 manakala Negeri Sembilan kekal di tangga kesembilan carta Liga Super. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN