Sentuhan Misbun hilang atau pemain negara manja?

Sentuhan Misbun hilang atau pemain negara manja?

LEE Chong Wei bersama Misbun Sidek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi menjadi tumpuan peminat tempatan setelah badan induk itu mencapai persetujuan bersama bekas pengendali perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek untuk berpisah buat kali ketiga.

Misbun melepaskan jawatannya atas dasar mengambil tanggungjawab kegagalan skuad remaja di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jogjakarta, Indonesia pada awal tahun ini.

Sama ada Misbun yang pernah menggarap tiga pemain negara menjadi No. 1 Dunia telah hilang sentuhan emasnya ataupun kegagalan tidak ditanggung bersama oleh keseluruhan skuad remaja, hanya BAM sahaja yang mempunyai jawapannya.

Atas kertas, sepanjang mengendalikan skuad remaja selama tiga tahun bermula pada 2020 sebagai Pengarah Pembangunan, tidak banyak pencapaian besar diraih pengendali berusia 63 tahun ini.

Bagaimanapun dia telah memainkan peranan menggilap beberapa pemain yang berada dalam skuad senior ketika ini, antaranya pemain beregu lelaki, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri yang pernah diberi julukan “Patatimo Boys” sehingga pernah menduduki ranking No. 1 remaja dunia pada 2020.

Begitu juga perseorangan lelaki, Justin Hoh yang kini dalam proses pemulihan achiles tendon, antara produk terbaru dari Misbun yang pernah meraih dua gelaran, Terbuka Croatia dan Kejohanan Antarabangsa Bonn, Itali tahun lalu.

Tidak dilupakan, bekas juara Asia, Lee Zii Jia juga pernah mendapat sentuhan Misbun pada 2017, serta Ng Tze Yong di awal kemunculannya dalam skuad senior negara.

Bagi bekas anak didiknya yang paling berjaya, Datuk Lee Chong Wei, latihan Misbun memang terkenal dengan rejim keras, namun dia percaya ia telah pun diolah sering dengan peredaran zaman apatah lagi badminton pada masa kini adalah jauh berbeza dengan lima hingga 10 tahun yang lalu.

“Apa jua sukan, disiplin adalah yang paling utama. Anda boleh menang, tetapi mungkin hanya bertahan satu dua tahun sahaja. Jika anda ada jurulatih yang terbaik sekalipun di dunia dibekalkan kepada anda, tetapi anda tiada inisiatif untuk pergi lebih jauh, maka tiada guna.

“Untuk pemain-pemain remaja, selalu saya cakap, anda kena tahu apa yang anda mahu. Ada impian untuk jadi pemain No. 1 dunia, mahu jadi juara dunia, mahu jadi yang terbaik di Malaysia, maka kejarlah impian itu. Jangan hanya ada impian sahaja, tetapi bila disuruh datang latihan pukul 5.30 pagi, anda hanya muncul pukul 6 pagi dan tidak bersungguh-sungguh ketika sesi lathan.

“Saya bagi contoh pemain perseorangan wanita muda Korea, An Se Young, walaupun kini dia tidak lagi dibimbing Wong Tat Meng, dia masih konsisten dan boleh menjadi juara.

“Kalau mahu Datuk Misbun melatih pemain sekarang menggunakan pendekatan yang dia guna ketika melatih saya, bagi saya mungkin tidak sesuai. Tetapi saya percaya dia sudah banyak membuat banyak perubahan untuk disesuaikan dengan pemain masa kini. Ibaratnya kalau Ferrari dahulu 360 kini sudah siri 488, program sudah tidak sama, semuanya perlu perubahan,” jelas Chong Wei yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ketika ini masih belum dapat dipastikan destinasi baru Misbun, sama ada berkhidmat sepenuh masa bersama kelabnya, Nusa Mahsuri ataupun meneruskan program pembangunan akar umbi. Difahamkan Misbun akan mengumumkannya dalam satu sidang media yang bakal diadakan dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya