Penantian belum berakhir, Malaysia tumbang lagi kepada Thailand

Penantian belum berakhir, Malaysia tumbang lagi kepada Thailand

AKSI Regu A negara (jersi biru) sewaktu beraksi menentang Thailand pada perlawanan akhir Piala Raja Thai di Bangkok, Thailand, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penantian selama 35 tahun untuk menyaksikan Malaysia kembali menjulang gelaran Piala Raja Thai tidak menjadi kenyataan apabila skuad negara gagal menjawab libasan berbisa Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan di Bangkok, Thailand, hari ini.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu tumbang 0-2 dengan kedua-dua regu negara kalah menerusi keputusan straight set.

Malaysia yang mempertaruhkan Syahir Mohd Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Mohd Muqlis Borhan selaku regu A tumpas 18-21, 9-21 kepada trio tuan rumah, Sittipong Khamchan, Pichet dan Wichan Temkort.

Regu B Malaysia yang dibarisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Farhan Adam turut gagal menghadirkan cabaran sengit kepada Thailand.

Sekalipun, ketua jurulatih, Ahmad Jais cuba mengeluarkan Zarif dengan menggantikan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir di posisi tekong, masih gagal mengubah nasib skuad kebangsaan apabila tunduk 14-21, 14-21.

Thailand menurunkan Siriwat Sakha, Pattrapong Yupadee dan Varayut Jantarasena sebagai regu B mereka dengan tekong muda Pornthep Tinbangbon di bawa masuk dalam set kedua menggantikan Siriwat.

Kegagalan itu menyaksikan Malaysia sekadar berpuas hati membawa pulang pingat perak dengan tuan rumah merangkul gelaran buat kali ke-35 berturut-turut sejak 1989.

Untuk pencapaian keseluruhan skuad negara pada kejohanan kali ini, Malaysia berjaya membawa pulang 1 emas menerusi pasukan quadrant wanita yang beraksi dalam saingan Divisyen 1, manakala, skuad lelaki menggondol dua pingat perak dalam acara antara regu dan berpasukan kategori Premier. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya