38 PEDi di Pulau Pinang bakal beroperasi tahun depan - Utusan Malaysia

38 PEDi di Pulau Pinang bakal beroperasi tahun depan

TEO Nie Ching melukis mural di salah sebuah bangunan ketika lawatan kerja ke Pulau Aman, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperuntukkan sebanyak RM49.4 juta untuk membangunkan 38 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, peruntukan berkenaan turut meliputi kos pengoperasian PEDi sepanjang tempoh lima tahun.

Lebih menarik, tambah beliau, Pulau Aman juga dipilih sebagai salah satu lokasi PEDi yang dijangka dapat dimanfaatkan lebih 250 penduduk di kawasan terbabit.

“Kita dalam peringkat terakhir bagi pelaksanaan inisiatif ini dan kita percaya proses tender boleh selesai sebelum hujung Ogos.

“Kontraktor yang terpilih akan diberi masa lima bulan untuk menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan antaranya komputer dan capaian internet berkelajuan tidak kurang daripada 3 megabit sesaat (Mbps).

“Dijangkakan kesemua (38) PEDi berkenaan bakal memulakan operasi pada penghujung Januari atau selewat-lewatnya awal Februari tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Semarak Gemilang @ Pulau Aman dalam lawatan kerjanya ke negeri ini, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi inisiatif itu juga, penduduk setempat yang menceburi bidang keusahawanan berpeluang memasarkan produk jualan mereka sehingga ke luar negara.

“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada untuk melatih penduduk yang berminat untuk menjadi vendor.

“Penduduk akan diajar pelbagai kemahiran antaranya cara untuk mereka poster dan pembungkusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, pihaknya sebelum ini telah mengenal pasti Pulau Aman sebagai kawasan bermasalah dan memasukkannya dalam projek Point of Presence (PoP) bagi penyediaan infrastruktur fiber optik ke sekolah-sekolah kerajaan, premis-premis serta komuniti setempat.

“Hasil penyertaan Telekom Malaysia dalam tender ini serta sokongan daripada pelbagai pihak di peringkat Persekutuan dan negeri, akhirnya penduduk di Pulau Aman kekal berhubung melalui perkhidmatan Unifi yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya