PETALING JAYA: Selangor International Expo MEDIC 2023 (SIE MEDIC 2023) menyediakan satu platform kepada pemain-pemain industri kesihatan, perubatan, farmaseutikal dan bio-perubatan untuk berkumpul di dalam satu platform bagi pembangunan perniagaan dan rangkaian hubungan sesama pemain industri.
Melalui SIE MEDIC 2023, industri dapat mengetahui perkembangan terkini, inovasi produk dan perkhidmatan terbaharu selain daripada jalinan hubungan bersama rakan industri terutamanya pembeli-pembeli dari dalam dan luar negara.
Selepas merekodkan kejayaan pada penganjuran tahun lalu, SIE MEDIC 2023 menyasarkan jumlah bilangan pengunjung seramai 6,000 orang.
Di samping itu, jumlah nilai transaksi berpotensi turut dijangka meningkat kepada RM40 juta daripada RM27 juta yang direkodkan pada 2022 dan RM1.9 juta tahun sebelumnya.

‘Menerusi acara SIE MEDIC 2023, adalah disasarkan untuk menjadi satu platform terpenting untuk industri kesihatan, perubatan dan farmaseutikal dan bio-perubatan di rantau ASEAN. Pada masa yang sama, meletakkan negeri Selangor sebagai hab industri serantau,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, selain pameran, satu persidangan ‘Selangor International Healthcare Conference 2023’ akan dianjurkan selama dua hari semasa pameran berlangsung.
Persidangan turut memfokuskan isu-isu terkini serta trend masa hadapan di dalam industri kesihatan dan perubatan yang bakal memberikan pendedahkan kepada pemain-pemain industri.
“Tema persidangan pada tahun ini akan menjurus kepada ‘Healthcare Financing’ dan ‘Precision Healthcare’. Selain daripada itu, pelbagai siri-siri seminar akan dianjurkan oleh rakan strategik lain seperti Medical Device Authority (MDA) dan International Society of Pharmaceutical Engineers (ISPE) seiring dengan pameran ini,” jelas beliau.
Penganjuran SIE MEDIC menurut Chang Khim, mendapat pengiktirafan agensi-agensi berkaitan seperti Medical Device Authority (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain.
Antara syarikat yang dijadual turut serta ialah Promaster Integrated Consultancy, HTEC Instruments Manufacturing Sdn. Bhd., Worldwide Medivest Sdn. Bhd., Dyna Source Sdn. Bhd., Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn. Bhd., Vipmediq Sdn. Bhd. dan Johnson Fitness Malaysia Sdn. Bhd. – UTUSAN