Sengketa tanah dengan jiran, budak 11 tahun maut ditembak - Utusan Malaysia

Sengketa tanah dengan jiran, budak 11 tahun maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RENNES, PERANCIS: Seorang kanak-kanak perempuan warga Britain berusia 11 tahun mati ditembak, manakala bapanya parah apabila jiran warga Belanda melepaskan tembakan di kawasan kediaman di barat laut Perancis.

Menurut siasatan awal, keluarga itu berada di laman rumah mereka di Saint-Herbot dekat Quimper di Brittany pada malam Sabtu lalu apabila suspek muncul dengan senjata api.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu ditemukan mati di tempat kejadian, manakala bapanya mengalami kecederaan serius yang mengancam nyawa, menurut majistret.

Nyawa ibu mangsa dianggap tidak dalam bahaya dan anak kedua tidak cedera tetapi dalam keadaan terkejut, kata pendakwa raya Halley.

Penembak itu dikenal pasti sebagai seorang pesara berusia 71 tahun.

Ketika polis masih berusaha menentukan motif tembakan, difahamkan berlaku pertikaian antara kedua-dua jiran itu selama beberapa tahun mengenai sebidang tanah bersebelahan dengan kedua-dua hartanah itu.

Sumber polis memberitahu AFP bahawa jiran itu melepaskan tembakan senapangnya melalui pagar sebelum pulang ke rumahnya bersama isteri.

Suspek dan isterinya menyerah diri kepada pihak berkuasa dan sudah ditahan.

Sementara itu, pejabat pendakwa raya membuka kertas siasatan bagi tuduhan membunuh dan cubaan membunuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN