KOTA BHARU: Bekas penyerang tinggi lampai The Red Warrior (TRW) Ismaheel Akinade sah menjadi milik seteru setempat Kelantan United selepas mengikat kontrak bersama pasukan itu hari ini.
Pengarah Eksekutifnya, Wan Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, kehadiran pemain kehadiran Nigeria itu memperkasakan lagi jentera serangan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
“Kita bawa masuk Ismaheel untuk pintu perpindahan kedua pada Julai ini. Usaha ini memperlihatkan kesungguhan kita untuk terus memberikan saingan di Liga Super.
“Pada masa sama, Kelantan United mahu memburu kedudukan lebih baik dalam carta liga,” katanya semasa sidang akhar di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Zul Ikman turut mengumumkan kehadiran bekas penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Shahril Saa’ri
sebagai salah seorang ahli keluarga baharu Kelantan United.
“Shahril merupakan seorang penjaga gol berpengalaman dan merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil dan skuad Harimau Muda. Dia juga pernah beraksi bersama beberapa kelad di Liga Malaysia seperti Terengganu, Sabah, Sarawak, PKNS, PDRM dan KDA.
“Saya harap kehadirannya akan memberikan satu nilai tambah kepada Kelantan United dan kita jangka beliau akan memberi saingan sengit kepada dua penjaga gol kita yang sedia ada,” ujarnya.-UTUSAN