MARANG: Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.
Berpegang kepada prinsip tersebut, seorang ibu bersemangat menyediakan dua kek untuk dibekalkan kepada dua anaknya sempena sambutan Hari Guru di sekolah masing-masing, semalam.
Siti Nur Safura Mohamad, 33, dari Taman Putri Indah, Padang Mengkuang di sini, berkata, dia tidak segan walaupun hanya mampu menghadiahkan kek kecil itu untuk guru-guru di sekolah anaknya kerana yakin keikhlasan pemberian itu lebih penting.
Ibu kepada Muhammad Farish Syakib Mohd. Fadlisham, murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang itu berkata, dia terharu apabila anaknya ceria dan gembira membantunya membuat sendiri kek itu, kelmarin.
“Memang kek ini tidak semewah pemberian orang lain, namun saya gembira kerana dapat menzahirkan penghargaan kepada guru yang banyak berjasa mendidik anak selama ini.
“Insya-Allah jika ada rezeki lebih, saya akan memberi hadiah yang lebih mewah pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Muhammad Farish Syakib berkata, dia seronok dapat menyuap kek itu kepada semua guru kesayangannya sempena sambutan Hari Guru. – UTUSAN










