Rangka dasar gaji progresif perlu libatkan kesatuan sekerja dan majikan - Utusan Malaysia

Rangka dasar gaji progresif perlu libatkan kesatuan sekerja dan majikan

KEGAGALAN majikan menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja boleh menyebabkan mereka didenda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbincangan lanjut antara kerajaan, pekerja atau kesatuan sekerja dan majikan perlu diadakan untuk memastikan rangka kerja dasar gaji progresif lebih mampan dan memberi impak positif kepada ekonomi negara dan semua pihak.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sistem gaji progresif tidak mempunyai tafsiran khusus dan mempunyai makna yang berbeza dari satu pihak ke satu pihak yang lain.

Katanya, adalah sangat penting supaya gaji progresif ditakrifkan dengan jelas dan dibangunkan model serta mekanisme yang sesuai untuk pelaksanaan gaji progresif .

“Isu-isu tersebut perlu dibincangkan dan dipertimbangkan dengan pemegang taruh secara menyeluruh supaya dasar sistem gaji progresif tidak hanya menambah kos kepada majikan.

“Sebaliknya, ia harus mempunyai keadaan menang menang kepada pekerja, majikan dan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, kadar inflasi yang tinggi tidak seharusnya dijadikan isu untuk meningkatkan lagi gaji.

Menurutnya, peningkatan kos sara hidup hendaklah ditangani dengan peningkatan produktiviti yang membolehkan majikan untuk berkongsi faedahnya dengan para pekerja.

“Menaikkan gaji untuk menandingi kenaikan inflasi tidak mampan dalam jangka panjang dan mungkin meletakkan banyak perniagaan berisiko untuk gulung tikar

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengawal harga barangan dan perkhidmatan
asas serta mengatasi kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.

Tambahnya, majikan sama ada besar dan kecil bekerja keras untuk memulihkan perniagaan mereka daripada pandemik Covid-19, banjir besar dan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia akibat konflik di Ukraine.

Jelasnya, majikan juga sedang berusaha keras untuk menangani kenaikan kos yang tinggi berikutan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 dan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 pada 1 Januari 2023.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif untuk menggantikan model gaji minimum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya