Dua loji janakuasa biogas milik TDM beroperasi - Utusan Malaysia

Dua loji janakuasa biogas milik TDM beroperasi

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan menyempurnakan gimik pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas TDM di Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Dua loji janakuasa biogas milik Kumpulan TDM Bhd. (TDM) melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berpotensi menghasilkan sejumlah 29,784,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui pada setiap tahun.

Pengerusi TDM, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, projek loji janakuasa di Kilang Minyak Sawit Kemaman dan Sungai Tong dekat ini yang bernilai hampir RM50 juta beroperasi sepenuhnya pada Jun 2020.

Menurutnya, kedua-dua projek loji janakuasa tersebut yang menggunakan sistem lagun tertutup dapat menjana 2 MegaWatt (MW) setiap jam ke grid Tenaga Nasional Berhad.

“TDM dengan kerjasama Concord Biotech Sdn. Bhd. telah membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Loji Janakuasa Biogas TDM di Kampung Padang Kubu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan loji janakuasa biogas itu.

Tengku Farok Hussin memberitahu, TDM komited dalam mencari ruang untuk mempertingkatkan kualiti perniagaan dan pada waktu yang sama berusaha untuk memastikan kelestarian alam sekitar terjamin.

“Pembinaan loji janakuasa biogas ini merupakan salah satu strategi TDM bagi mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang terhasil daripada sistem rawatan effluen kilang sawit.

” Ia juga sekali gus mengurangkan jejak karbon dalam menuju ke arah memacu pembangunan mampan.

“Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan dan juga membantu mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Beliau menambah, projek ini turut menerima pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya