Bida rumah lelong perlu ada ilmu - Utusan Malaysia

Bida rumah lelong perlu ada ilmu

RUMAH lelong antara pilihan pembeli rumah yang mahu memiliki rumah dengan harga lebih rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG ramai yang mahu membida rumah lelong disarankan untuk membuat kajian dan mengumpul ilmu daripada individu lebih berpengalaman sekiranya tidak mahu menanggung kerugian di masa hadapan.

Ini termasuk risiko terbeli rumah lelong yang mempunyai banyak masalah seterusnya merugikan pembeli kerana perlu melakukan ubah suai dan penambahbaikan rumah yang menelan kos tinggi.

Menurut pekerja swasta, Luqman Hakim Mod. Sori, yang mempunyai pengalaman membeli rumah lelong, proses bidaan dan pemilikan rumah lelong tidak serumit yang disangka, tambahan pula kini sesiapa sahaja boleh membida secara dalam talian.

“Saya sendiri berjaya memiliki sebuah apartmen di Rawang menerusi proses bidaan di bawah harga pasaran pada nilai RM60,000 sahaja. Bagi saya, ia satu pembelian yang menguntungkan kerana keadaan unit yang baik serta mempunyai kejiranan yang bagus.

“Cuma, sebelum membuat keputusan untuk daftar bidaan, rajinkan diri untuk turun melihat sendiri keadaan persekitaran rumah. Jangan harapkan ejen atau orang lain kerana kita sendiri perlu berpuas hati dengan keadaan unit tersebut,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Izzah Fatihah Ibrahim berkata, kebanyakan individu membeli rumah lelong kerana kawasannya yang dilengkapi pelbagai kemudahan, selain proses ubah suai yang lebih terjamin kerana struktur rumah kukuh.

“Satu bonus kalau kita dapat membida rumah lelong yang masih baharu kerana tidak banyak yang perlu diperbaiki. Namun, rumah seperti itu agak sukar untuk menang bidaan kerana saingan yang sengit.

“Jika tiada langsung pengalaman dalam membida rumah lelong, lebih baik menggunakan ejen lelongan kerana mereka akan membantu kita membuat carian mengenai sejarah rumah tersebut dan sebagainya.

“Selain itu, pembeli perlu sediakan deposit 10 peratus daripada harga rumah untuk membuat bidaan dan perlu lumaskan bayaran penuh dalam tempoh ditetapkan sekiranya berjaya membida. Jadi, kita perlu lihat semula bajet yang kita ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, suri rumah, Nurul ‘Izzah Mohd. Khalil pula menegaskan, dia tidak pernah terfikir untuk membeli rumah lelong kerana terdapat banyak kos tersembunyi.

“Rumah lelong bagus untuk yang mempunyai ilmu dalam pembelian rumah jadi untuk pembelian rumah pertama mungkin tidak begitu sesuai.

“Pendapat saya, membeli rumah lelong memerlukan modal yang besar dan juga bergantung kepada nasib. Oleh itu, perlu fikir sebaiknya sebelum mendaftar untuk bidaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.