Kematian anggota tentera akibat kecederaan di kepala kerana jatuh - Utusan Malaysia

Kematian anggota tentera akibat kecederaan di kepala kerana jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan punca kematian Koperal Mohamad Nasri Mohd. Nasib yang ditemukan selepas enam hari dilaporkan hilang di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum di Gerik, akibat kecederaan di kepala kerana terjatuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, punca kematian itu diperoleh hasil proses bedah siasat ke atas mayat anggota berusia 33 tahun itu yang selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pihak hospital mengesahkan mangsa adalah anggota tentera dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang yang dilaporkan hilang pada 7 April lalu.

“Punca kematian mangsa disebabkan kecederaan akibat terjatuh,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mohd. Yusri dalam kenyataannya sebelum ini berkata, mayat anggota tentera itu ditemukan semalam, pada pukul 10.15 pagi dalam keadaan sempurna di kawasan hutan berhampiran sungai.

Beliau berkata, pihaknya percaya tiada sebarang unsur jenayah atau bintang buas membabitkan kes berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika sedang menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.

Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari sama sebelum mangsa akhirnya dijumpai semalam. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN