Kekalkan nikotin bahan terkawal dalam Akta Racun - Utusan Malaysia

Kekalkan nikotin bahan terkawal dalam Akta Racun

PEGAWAI Pendidikan CAP, N. V. Subbarow menunjukkan cecair vape yang bebas dijual di pasaran ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua Ahli Parlimen menyokong Lembaga Racun untuk mengekalkan nikotin sebagai bahan terkawal di dalam Akta Racun.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pada masa ini nikotin dikategorikan sebagai racun kumpulan C yang memerlukan ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan, pergigian atau veterinar berdaftar untuk menjual sebarang bentuk penyediaan yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun (PA) 1952.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan meluluskan rang undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang bertujuan melarang tembakau dan vape bagi sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 tanpa sebarang perubahan pada kandungan asal.

“Membenarkan Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDs) dan Produk Tembakau yang Dipanaskan (HTPs) akan menjejaskan objektif Rangka Kerja Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia yang mana Pusat Racun Negara (NPC), Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022.

”Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun dan yang paling muda ialah empat bulan,” katanya.

Selain itu, tambahnya, dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama.

”Menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) terdapat lebih 97 peratus e-cecair dengan nikotin di dalam pasaran tempatan.

”Kajian di Eropah mendapati banyak sampel yang diperolehi daripada pasaran menunjukkan kebanyakannya melebihi 10 peratus daripada jumlah nikotin yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya