KUALA TERENGGANU: Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Selasa lalu dinasihatkan berehat sementara sebelum meneruskan aktiviti ceramah dan kuliah seperti biasa.
Satu sumber yang rapat dengan pendakwah itu berkata, ia bagi memastikan kesihatan beliau benar-benar pulih seperti sedia kala.
Terdahulu, beliau dibenarkan pulang ke rumah setelah kesihatannya beransur pulih pada pukul 1 petang kelmarin..
Perkara tersebut dimaklumkan isterinya, Rogayah Sulong melalui laman sosial Facebook miliknya.
“Alhamdulillah ustaz dah discharge (keluar dari wad). Terima kasih kepada pihak hospital HSNZ di atas layanan yang baik (sepanjang ustaz menerima rawatan).
“Terima kasih juga kepada semua kru Ustaz (Azhar) dan kepada semua yang mendoakan. Semoga Ustaz sembuh seperti sedia kala agar dapat meneruskan dakwah seperti biasa,” tulisnya.
Pendakwah terkenal itu dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan membabitan paru-paru dan jantung. – UTUSAN










