Tiada keperluan selaras sijil tauliah mengajar  - Utusan Malaysia

Tiada keperluan selaras sijil tauliah mengajar 

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (barisan depan, tengah) bergambar selepas melancarkan pelan strategik 2023-2027 dan laman web baharu Maidam di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menganggap tiada keperluan untuk diselaraskan sijil pentauliahan mengajar dalam kalangan penceramah agama di semua negeri kerana perkara tersebut di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setakat ini, urusan agama termasuk pentauliahan mengajar masih mampu diuruskan dengan baik oleh negeri-negeri tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, pelaksanaan undang-undang Islam yang ada di Malaysia ketika ini juga mempunyai persamaan antara 98 hingga 99 peratus dan hanya seksyen sahaja berbeza termasuk istilah perkataan tertentu.

“Jika hendak diselaraskan, ia perlu dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan dibincangkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Namun, buat masa ini, hal-hal berkaitan agama masih mampu diuruskan dengan baik oleh pentadbiran negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran pelan strategik 2023-2027 dan laman web baharu Maidam di sini, hari ini.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani mencadangkan sijil pentauliahan mengajar bagi penceramah agama perlu diselaraskan di semua negeri bagi mengelakkan timbul pertikaian pada masa hadapan.

Sebelum itu, Maidam mengeluarkan arahan semua semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di Terengganu.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, larangan pemimpin dan aktivis politik di Terengganu tidak menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian bertujuan mengelakkan perpecahan dalam kalangan penduduk di negeri itu.

“Kita tidak menghalang untuk menyebarkan syiar Islam, namun tidak mahu masjid dan surau dijadikan gelanggang politik kepartian.

“Kadang-kadang orang politik ini bila diberi peluang sejengkal jadi sedepa (berlebihan), sebab itu kena ada tauliah untuk mengajar di masjid dan surau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya