Sarawak jangka pertumbuhan 20 % pengunjung Eropah

Sarawak jangka pertumbuhan 20% pengunjung Eropah hasil penyertaan di ITB Berlin

sarawak
Sarawak kembali mempamerkan kehebatannya di ITB Berlin 2023, bermula 7 hingga 9 Mac 2023 dengan menyediakan pavilion tersendiri bagi mengetengahkan serta mengukuhkan jenama Sarawak dalam pasaran Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sarawak kembali mempamerkan kehebatannya di ITB Berlin 2023, bermula 7 hingga 9 Mac 2023 dengan menyediakan pavilion tersendiri bagi mengetengahkan serta mengukuhkan jenama Sarawak dalam pasaran Eropah, sebagai destinasi eko-pelancongan yang terkemuka serta destinasi pilihan di rantau ASEAN.

Dari penyertaannya di ITB Berlin, jenama Sarawak diperkukuhkan lagi di Pasaran Eropah, sebagai destinasi unik, baharu dan eksotik. Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan rakan-rakan dagangnya berjaya meraih 52 potensi bisnes baharu yang bakal direalisasi pada 2023, sebagai langkah berterusan untuk mempromosi Sarawak.

STB  mengunjurkan potensi bisnes baharu ini bakal menghasilkan pertumbuhan 20 peratus dari segi jualan daripada pasaran Eropah. Jangkaan jumlah jualan daripada ITB Berlin 2023 dianggarkan bernilai RM10.5 juta untuk 2023 dan seterusnya.

Pengunjung ITB Berlin telah menikmati kepelbagaian unik Budaya (Culture) Sarawak, Pengembaraan (Adventure), Alam Semula Jadi (Nature), Makanan (Food) serta festival, bagi membuka peluang serta mewujudkan minat serta persepsi positif terhadap Sarawak.

Pavilion ini juga mempamerkan pelbagai aspek komuniti berbilang etnik dan ekosistem semula jadi Sarawak serta kepelbagaian flora dan fauna untuk memastikan “Discovery of Sarawak’’ berterusan.

Salah satu agenda penting bagi Sarawak di ITB Berlin ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara STB dan Tischler Reisen AG bagi mewujudkan usahasama dalam meningkatkan visibiliti Sarawak sebagai destinasi pilihan dalam kalangan rakyat Jerman dan sekitar  Eropah.

Usaha sama promosi pemasaran luar talian dan atas talian ini bakal melibatkan kira-kira 600 agensi terbaik di Jerman.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, “Pavilion Sarawak mencerminkan  kesungguhan negeri kami untuk memacu pelancongan sebagai salah satu penyumbang
utama kepada Sarawak.”

Tambah beliau, “Tahun ini, Sarawak menyasarkan kedatangan tiga juta pengunjung memandangkan pelancongan antarabangsa terus pulih daripada pandemik Covid-19. Ini merupakan satu pencapaian yang optimistik bagi Sarawak, dengan pertumbuhan lebih 800 peratus daripada aspek pendapatan pelancongan pada tahun 2022, yang mencatatkan hampir RM4 bilion, berbanding RM500 juta bagi tahun 2021.”

“Festival memainkan peranan penting kepada industri pelancongan Sarawak untuk terus mengukuhkan imejnya sebagai destinasi budaya. Salah satu festival utama Sarawak adalah Rainforest World Music Festival (RWMF) yang amat dikenali di peringkat antarabangsa. Festival ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun tahun ini.

“Kami amat prihatin bahawa festival mempunyai ‘carbon footprint’ yang agak tinggi dan sisa yang biasanya dihasilkan daripada acara besar sebegini akan mempunyai impak kepada alam sekitar. Oleh itu, Sarawak telah mengambil langkah proaktif agar RWMF sentiasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan memastikan aspek kemampanan dan mesra alam menjadi keutamaan dalam pelaksanaannya,” ujar beliau.

Satu lagi acara penting bagi Sarawak di ITB Berlin ialah pelancaran video destinasi baharunya, “Sarawak…Now More Than Ever” serta persembahan video mengenai produk pengembaraan Sarawak seperti aktiviti berbasikal, trekking dan aktiviti gua di Sarawak dan video promosi RWMF 2023.

Sebagai negeri terbesar di Malaysia dengan kepadatan penduduk yang rendah iaitu seramai 2.9 juta, Sarawak amat berbangga dengan warisan semula jadi hutan hujan asli, flora dan fauna endemik, serta kepelbagaian penduduknya.

Terletak di Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, Sarawak mempunyai kaleidoskop budaya yang unik termasuk 31 kumpulan etnik, dengan pelbagai ekosistem yang dapat menarik minat pengembara.

Kini pelancong di seluruh dunia semakin prihatin tentang aspek kebertanggungjawaban dalam pelancongan. Oleh itu, Sarawak telah beberapa tahun mengambil langkah ke arah falsafah ini bagi mengetengahkan Pelancongan Bertanggungjawab (Responsible Tourism).

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, STB telah berusaha mendukung konsep kebertanggungjawaban individu, kebertanggungjawaban bisnes serta kebertanggungjawaban kerajaan ke arah mencapai impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif terhadap pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya