Racun tidak berkualiti antara punca hasil padi merosot - Utusan Malaysia

Racun tidak berkualiti antara punca hasil padi merosot

PESAWAH, Mohd Nasir Jamaludin, 57, menunjukkan salah satu kawasan tanah jerlus yang menyukarkan mesin padi untuk melakukan kerja-kerja menuai padi di Kampung Benua, Simpang Empat, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Racun yang tidak berkualiti khususnya dari luar negara digunakan pesawah menyebabkan tanah rosak sekali gus menjadi antara faktor hasil tanaman padi merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Masalah tersebut turut mengundang isu tanah jerlus yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menyukarkan proses pengambilan hasil oleh jentera berat atau mesin padi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, terdapat jenis racun yang digunakan pesawah khususnya yang diimport dari luar negara boleh merosakkan tanah sekali gus bakal memberi kesan kepada hasil padi.

Katanya, racun antara komponen penting dalam proses tanaman tersebut dan jika tidak berkualiti akan memberi kesan apabila tiba waktu menuai yang akhirnya menjejaskan hasil pengeluaran padi pada setiap musim.

Jelasnya, isu berkenaan juga diakui oleh para pesawah dari seluruh negara yang berdepan masalah tanah jerlus disebabkan faktor berkenaan.

“Apabila tanah jerlus, mesin padi tidak boleh masuk dan sejak kebelakangan ini masalah berkenaan kerap berlaku. Sudahlah harga racun mahal namun akhirnya memberi kesan kepada pesawah.

“Masalah berkenaan dikesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius bagi mengatasi masalah kemerosotan hasil padi ini,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi atau beras negara boleh merosot sehingga 70 peratus dalam tempoh tujuh atau 10 tahun akan datang disebabkan hasil para pesawah yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pesawah dikatakan hanya mampu menghasilkan sekitar dua tan metrik padi bagi keluasan satu hektar berbanding tempoh lima ke tujuh tahun lalu yang mencecah sehingga tujuh tan metrik bagi keluasan sama.

Masalah tersebut sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana dengan masa depan hasil beras negara selain nasib para pesawah yang terus terhimpit akibat isu berkenaan selain terpaksa menanggung kerugian berterusan.

Sebelum itu, akhbar ini melaporkan, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Shazwan berkata, isu racun tidak berkualiti dikesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang dikhuatiri akan terus memberi kesan kepada pesawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya