Korea Utara lancar peluru berpandu pada sidang kemuncak Jepun

Korea Utara lancar peluru berpandu pada sidang kemuncak Jepun-Korea Selatan

PESAWAT yang membawa Yoon Suk Yeol dan isterinya Kim Keon Hee selepas tiba di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pemimpin Jepun dan Korea Selatan mengadakan sidang kemuncak pertama dalam tempoh 12 tahun semalam bertujuan mencapai persefahaman, namun pertemuan bersejarah itu hanya meningkatkan ketegangan dengan Korea Utara.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dilaporkan tiba di Tok­yo sebelum Korea Utara melepaskan peluru berpandu jarak jauh dipercayai peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mendarat di laut di antara semenanjung Korea dan Jepun.

Suk Yeol dikatakan bertemu Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada sebelah petang, semalam apabila kedua-duanya membentangkan persefahaman dan berusaha untuk mengetepikan permusuhan bertahun-tahun yang timbul daripada pendudukan Jepun pada 1910 hingga 1945 di semenanjung Korea.

Kedua-dua negara itu turut membincangkan mengenai kerjasama untuk mendapatkan rantaian bekalan.

“Terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk Korea Selatan dan Jepun untuk bekerjasama pada masa ini,” kata Suk Yeol dalam temu bual bertulis dengan media antarabangsa semalam.

ANCAMAN POLIKRISIS
Suk Yeol menggelar kedua-dua ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara ke atas mereka serta gangguan rantaian bekalan sebagai polikrisis.

Menurut penyiar Jepun, NHK, Suk Yeol mahu menge­ratkan kerjasama keselamatan dengan Jepun dan kedua-dua pemimpin itu bersedia untuk mengadakan pelaksanaan dialog keselamatan dua hala yang digantung sejak 2018.

Tokyo dan Seoul juga dijang­ka menghidupkan semula diplomasi ulang-alik atau lawatan biasa antara pemimpin, menurut laporan harian Yomiuri yang memetik sumber kerajaan Jepun.

JEPUN BERWASPADA
Namun, Jepun dikatakan tetap berhati-hati tentang penambahbaikan dalam perhubungan kedua-dua negara berkenaan.

Seorang pegawai kerajaan Jepun yang tidak mahu nama­nya disiarkan berkata, hubu­ngan Jepun dengan Korea Selatan masih lagi dalam proses untuk dibentuk dan prosesnya adalah langkah demi langkah.

Dalam tinjauan pendapat oleh Gallup Korea pada Jumaat lalu, 64 peratus responden dari Korea Selatan mengatakan negara mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk memperbaiki hubungan dengan Jepun jika tiada perubahan dalam sikap negara matahari terbit itu.

Dikatakan 85 peratus res­ponden berpendapat kerajaan Jepun sekarang tidak apologetik tentang penjajahan mereka di semenanjung Korea.

PERMOHONAN MAAF
Ketua Parti Demokrat Korea Selatan, Park Hong-keun berkata, lawatan Suk Yeol tidak seharus­nya berhenti di tengah jalan dan beliau meminta Presiden Korea Selatan itu mendapatkan permohonan maaf daripada Jepun me­ngenai isu buruh paksa.

Hubungan antara kedua-dua negara menjadi renggang ke­rana isu buruh sewaktu perang dan wanita penghibur Korea yang terpaksa bekerja di rumah pelacuran zaman perang Jepun.

Seoul juga mengumumkan rancangan untuk membayar pampasan kepada bekas buruh paksa.

Di pihak Jepun, Kishida me­ngalu-alukan langkah pampasan buruh itu dan berharap dapat mengukuhkan hubungan menerusi lawatan Suk Yeol itu.

Kedua-dua pemimpin ber­kenaan dikatakan sudah bertemu pada November tahun lalu di luar sidang kemuncak ASEAN di Kemboja.

Korea Selatan dan Jepun pada masa itu bersetuju untuk bertukar maklumat risikan masa nyata mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang menurut pakar akan membantu kedua-dua negara menjejaki potensi ancaman dengan lebih baik.

Jepun berkata, cabaran strategik yang ditimbulkan oleh China adalah yang terbesar pernah di­hadapi Jepun dalam kertas strategi pertahanan yang dikeluarkan pada bulan Disember.

Tokyo bimbang bahawa pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjadi contoh yang akan menggalakkan China menyerang Taiwan.

Pengawal pantai China memasuki perairan sekitar pulau kecil Laut China Timur yang dipertikaikan untuk menentang apa yang dipanggil pencerobohan kapal Jepun ke perairan wilayah China.–AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.