Adabi beri variasi makanan Ready-To-Eat halal

Adabi beri variasi makanan Ready-To-Eat halal

adabi
ADRIAN Roslan menunjukkan enam produk sedia dimakan yang dihasilkan daripada ramuan Adabi yang telah berada di semua 33 cawangan emart24 di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) adalah nama yang tidak asing lagi di negara ini dan amat sinonim dengan pengeluaran produk yang dijamin halal.

Setelah mengeluarkan lebih 200 produk yang mengkhususkan produk makanan termasuk sos dan rempah sejak penubuhannya pada 1984, Adabi terus mengorak langkah dengan menghasilkan makanan kucing dan kudapan.

Terbaharu sempena kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini, Adabi menjalankan usaha sama dengan kedai serbaneka dari Korea, emart24 dalam memberikan variasi makanan ready-to-eat yang disahkan halal.

Ikuti temu bual di antara wartawan, Nurfarahin Hussin dengan Presiden Adabi, Adrian Roslan mengenai kerjasama tersebut.

 

UTUSAN: Boleh terangkan me­ngenai usaha sama terbaharu dengan emart24 kali ini?
ADRIAN: Usaha sama kali ini adalah istimewa sempena Ramadan dan Syawal, jadi ia berlangsung selama dua bulan dari 17 Mac lalu sehingga akhir Syawal pada Mei nanti. Setelah beberapa kali pihak kami dan emart24 duduk berbincang serta melakukan penyelidikan dan pembangunan, kami tampilkan enam produk sedia untuk dimakan yang sudah tersedia di 33 cawangan emart24 di seluruh negara.

Apakah produk yang ditawarkan dan keistimewaannya?
Produk yang dinamakan Sajian Daebak ini menggunakan ramuan istimewa daripada Adabi iaitu Sardin Tomato Cili, Kurma Daging, Rendang Daging dan Sambal Ikan Bilis. Produk-produk itu kemudian diolah dengan cita rasa Korea untuk semua penggemar keunikan campuran rasa Korea dan tempatan.

Produk akhir yang ditawarkan adalah Beef Kurma Cupbap dan Sardine Cupbap yang boleh dimakan selepas dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro manakala makanan sedia untuk dimakan iaitu Samgak Gimbap Daging Kurma, Samgakbap Sambal Ikan Bilis, Samgakbap Bibimbap Daging Rendang dan Samgakbap Sardin.

Produk ini sudah semestinya dihasilkan bagi memudahkan orang ramai mencari juadah berbuka ataupun sahur , lebih-lebih lagi cawangan emart24 terletak berdekatan dengan pejabat dan pusat komersial termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).

Adakah Adabi akan meneruskan usaha sama dengan syarikat-syarikat lain pula selepas ini?
Kami juga dalam perancangan bagaiamana untuk melancarkan produk menerusi kerjasama dengan pasar raya. Contohnya Adabi dan satu pihak lagi menyediakan produk masing-masing sebelum kita jalankan kajian untuk menghasilkan produk penjenamaan bersama (co-branding) seperti yang dilakukan bersama emart24 ini.

Objektifnya mudah, kami mahu menawarkan produk yang pelbagai kepada pengguna dan bukan hanya tertumpu kepada kari, sup, tepung, perencah, sos, makanan dalam tin atau kudapan sahaja. Perkara ini kami yakin boleh dicapai selepas Adabi mampu meningkatkan produktiviti dengan pelancaran kilang baharu di Rawang yang turut dilengkapi mesin berteknologi terkini. Ketika musim pandemik sebelum ini, kami memang tidak berani untuk adakan usaha sama dengan mana-mana pihak, namun dengan pembukaan kilang baharu kami boleh fokus untuk lebih banyak projek.

Selepas pembukaan kilang baharu, apakah sasaran Adabi untuk tahun ini?
Tahun ini, Adabi akan meningkatkan pengeluaran dan jualan susulan pembukaan kilang baharu kerana kita ada kapasiti. Sebelum ini kapasiti produk tidak mencukupi sehingga kami terpaksa mengehadkan kuantiti produk yang dieksport ke luar negara antaranya Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Dengan kuantiti produk yang lebih tinggi, kami yakin dapat mencapai sasaran jumlah jualan kumpulan Syarikat Adabi sehingga RM1 bilion bagi tahun ini, iaitu peningkatan hampir 23 peratus berbanding kira-kira RM800 juta tahun lepas.

Bagaimana pula dengan ‘hero’ produk daripada Adabi?
Kalau dahulu, produk terlaris kami adalah rempah ratus, namun pada masa ini, produk terlaris Adabi adalah makanan kucing jenama Powercat yang menyumbang 23 peratus daripada keseluruhan jualan. Produk makanan kucing ini mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja daripada pasaran tempatan, malah dieksport ke luar negara seperti Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan negara-negara lain.

Salah satu nilai tambah pada produk ini adalah ia makanan kucing yang mendapat pensijilan halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI), selain bermutu tinggi dengan lebih 30 peratus protein untuk kucing kesayangan anda.

Bagaimana Adabi berhadapan dengan kenaikan kos bahan mentah?
Pengilang makanan memang tidak boleh lari daripada kenaikan harga bahan mentah contohnya botol kaca dan tin. Jadi, apabila berlaku peningkatan bahan ini, kita terpaksa naikkan harga produk kerana ia akan memberi masalah kepada aliran tunai syarikat. Namun kita buat banyak promosi antaranya beli tiga unit pada harga tertentu supaya pengguna tidak terasa kenaikan harga produk itu.

Apa perancangan masa hadapan Adabi?
Kini Adabi mempunyai lebih 200 produk Stock Keeping Unit (SKU) di pasaran dan untuk masa terdekat, kami akan terus melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk produk-produk baharu. Apa yang penting, produk yang dihasilkan perlulah mempunyai rasa yang enak dan boleh dite­rima pengguna.

Pengguna juga lebih ramai yang memilih untuk memasak sendiri di rumah disebabkan peningkatan kos sara hidup. Jadi, pes Adabi memudahkan dan mempercepat proses memasak, namun masih mengekalkan rasa yang enak.

Dalam tahun ini juga, kami akan keluarkan produk baharu iaitu pes bagi masak lemak cili api, balado, serbuk telur masin dan beberapa produk lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.