MAHB permudah operasi penerbangan di Istanbul, Turkiye - Utusan Malaysia

MAHB permudah operasi penerbangan di Istanbul, Turkiye

ANGGOTA SMART membawa peralatan yang akan digunakan dalam misi bantuan ke Turkiye bagi operasi SAR mangsa gempa bumi di KLIA. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang juga pengendali  Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) memberi komitmen penuh membantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi yang melanda di tenggara Turkiye, pagi kelmarin.

MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan yang diberikan adalah dengan memudah cara semua penerbangan menyelamat dan operasi kargo yang melalui  SAW.

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, penerbangan penyelamat pertama telah berlepas pada pukul 8.41 pagi waktu tempatan dan sehingga kini, enam penerbangan serupa sudah berlepas dari lapangan terbang berkenaan yang membawa 1,400 anggota penyelamat.

Katanya, MAHB juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi memberikan bantuan tambahan dengan menyediakan penginapan transit kepada 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di hotel di lapangan terbang itu, sebelum mereka digerakkan ke kawasan terjejas.

“Kami sama-sama sedih dengan tragedi tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi itu. Kami akan terus menawarkan sebarang bantuan yang mungkin,” katanya.

Untuk rekod, SAW merupakan salah satu daripada dua lapangan terbang yang ditetapkan kerajaan Turkiye sebagai hab menyelamat dan logistik bagi membantu mangsa gempa bumi di tenggara negara berkenaan.

Terminal Penerbangan Am di SAW kini digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan lapangan terbang menyediakan semua sokongan yang diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

Terdahulu media melaporkan ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitude melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan), kelmarin.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya, manakala di Syria membabitkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.