PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneliti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebelum melakukan sebarang pindaan terhadap akta itu terutama yang membabitkan soal pemerkasaan mahasiswa.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil selepas pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) diberi kebebasan sepenuhnya untuk bersuara termasuk mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kementerian itu ketika ini sememangnya dalam usaha menjayakan pemerkasaan mahasiswa.
Justeru, katanya, selain daripada memastikan mahasiswa mendapat pendidikan terbaik melalui pendedahan dan penguasaan ilmu, mereka juga perlu didedahkan dengan soal bagaimana mahu membangunkan keperibadian karakter yang tepat.
“Jadi dalam konteks ini, memang kita sedang usahakan perkara yang boleh mencapai matlamat tersebut dengan mendedahkan pelajar kepada lebih banyak peranan dan amanah.
“Oleh itu, kalau ada pun AUKU dipinda, ia untuk menepati memenuhi perkara yang diperkatakan awal tadi iaitu soal pemerkasaan mahasiswa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua universiti dan IPT diarahkan memberi kebebasan bersuara kepada pelajar kecuali jika ia membabitkan sensitiviti kaum dan agama serta pandangan melampau yang boleh mengancam keharmonian negara.
Langkah itu katanya, supaya universiti dan IPT di negara ini dapat memberi ruang kepada pelajar untuk berfikiran kreatif dan berminda kritikal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pihaknya tidak menolak kepentingan pelajar ketika ini semakin mahukan kebebasan seperti yang berlaku di negara membangun.
Katanya, ini kerana zaman sudah berubah dan sudah menjadi satu trend yang bukan sahaja berlaku di Malaysia.
“Kalau perlu buat apa-apa pindaan, maka buatlah sebab zaman sudah berubah.
“Tetapi kena faham, apa-apa premis pun tetap perlu mementingkan kecemerlangan akademik, bukan terlalu bergenjatan di universiti sampai mengetepikan kecemerlangan akademik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa akan menjadi benar-benar bermakna jika AUKU turut dipinda agar selari dengan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pindaan AUKU itu perlu merangkumi peruntukan yang melibatkan halangan untuk mahasiswa seperti mengumpul dana, beraktiviti atau berpolitik di dalam kampus.
“Perubahan AUKU itu akan memberikan kesan yang positif dan memperkasa lagi gerakan mahasiswa di kampus,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Amsyar Hadie berkata, MPPK percaya kebebasan bersuara itu memberi satu peluang yang besar kepada golongan mahasiswa terutamanya di universiti untuk menyuarakan secara terus pandangan, suara dan kritikan mereka terhadap kerajaan.
Katanya, ini kerana suara mahasiswa juga perlu diambil kira kerana mereka antara golongan terbesar serta merupakan golongan yang bakal menerajui negara pada satu masa akan datang.
“Saya yakin mahasiswa hari ini sudah cukup matang untuk membuat keputusan dan menilai sesuatu perkara berdasarkan pandangan kami sebagai seorang mahasiswa di universiti,” katanya.- UTUSAN










