Akta Finas dipinda elak ahli lembaga pengarah ambil kesempatan

Akta Finas dipinda elak ahli lembaga pengarah ambil kesempatan

FAHMI Fadzil berucap semasa melancarkan Jelajah Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berbincang untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 bagi mengelakkan ahli perbadanan atau ahli lembaga pengarahnya menggunakan kedudukan untuk menyalurkan sejumlah dana kerajaan kepada syarikat-syarikat yang didakwa mempunyai kepentingan atau hubungan dengan mereka. 

Hal itu setelah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendedahkan terdapat penyaluran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli atau jawatankuasa Finas.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mereka yang memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah tidak boleh menerima sebarang geran atau manfaat daripada agensi itu. 

“Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri telah menegur isu dana kandungan digital ini yang melibatkan Finas. Sejuk teguran itu, saya telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan pengurusan untuk memahami apa yang telah berlaku dan tindakan yang perlu diambil. 

“Saya berpuas hati dengan maklum balas diberi dan harapan kerajaan untuk isu ini, mereka yang memegang jawatan ahli lembaga tidak boleh menerima sebarang geran atau manfaat daripada Finas dari segi kerja mereka. 

“Tidak wajar sesiapa yang memegang jawatan itu atau berada di dalam lembaga berkenaan mengambil kesempatan. Jadi, kerajaan sedang bincang apakah bentuk pindaan terhadap akta Finas ini supaya membolehkan ahli lembaga ini berfungsi dengan baik. 

“Ini selain mereka memahami perkembangan dalam industri perfileman dan pada masa sama, menjadi daya tarikan supaya mereka benar-benar  menyumbang kepada industri ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini hari ini. 

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Program itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar yang memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.

LKAN Tahun 2021 Siri 2 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendedahkan, dana kandungan digital bernilai RM4 juta itu disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik ahli lembaga pengarah itu sendiri, isteri, anak, ahli keluarga serta pegawai khas.

Antara syarikat dinamakan adalah 487600-U milik isteri dan anak Ahli Lembaga Pengarah 2 bagi Projek 17: Rain Town bernilai RM2 juta; syarikat 1186173-U milik Ahli Jawatankuasa Finas yang juga Pegawai Khas kepada Ahli Lembaga Pengarah 5 bagi Projek 21: Diari Seorang Pendosa bernilai RM600,000 dan 984538-P milik adik kepada Ahli Lembaga Pengarah 5 bagi Projek 20: Penculikan Leha Lawa bernilai RM600,000.

Mengikut Subseksyen 14(1) Akta Finas 1981 (Akta 244), seseorang yang dilantik sebagai ahli perbadanan, ahli jawatankuasa atau yang mempunyai hubungan dengan Finas tidak boleh mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan badan, pertubuhan atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem serta mempunyai kontrak dengan Finas.

Pemberian dana itu kepada syarikat berkaitan ahli perbadanan berkenaan telah menyebabkan berlaku percanggahan kepentingan kerana pemilik syarikat juga merupakan ahli yang berkepentingan selain tiada penguatkuasaan terhadap Akta 244.

Sementara itu, semakan laporan berkenaan turut mendapati dua projek melibatkan Bahagian Pembangunan Kandungan K-KOMM dan enam projek Finas berjumlah RM7.98 juta gagal disiapkan sehingga 31 Mei 2022. Sebanyak RM4 juta atau 50.1 peratus telah dibuat pembayaran kepada penerima dana kandungan digital daripada jumlah tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.