‘Wakili Malaysia satu penghormatan, bukan satu bebanan’

‘Wakili Malaysia satu penghormatan, bukan satu bebanan’

AARON CHIA-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA aktres Tan Sri Michelle Yeoh mencuri tumpuan atas kemenangan anugerah Golden Globe selaku Pelakon Wanita Terbaik, seorang lagi bernama Michelle turut meniti di bibir peminat sukan, khususnya badminton, sepanjang minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, bukan orang baharu dalam sukan negara.

Pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sehingga dianggap sebagai anak didik kepada pentadbir bertaraf legenda, mendiang Datuk Peter Velappan, Michelle kembali ke arena badminton tahun lalu, selepas tiga tahun.

Dari 2017 hingga 2019, Michelle, seorang graduan dari United Kingdom, memegang jawatan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Kemudian, beliau dilantik ketua pegawai operasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga kembali ke BAM untuk menerajui ABM pada Oktober tahun lalu. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah Teknikal dan Pertandingan Jawatankuasa Liga Profesional naungan Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Secara tiba-tiba, Michelle mengeluarkan kenyataan terhadap persembahan pemain badminton negara selepas Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar, Michelle yang biasanya bekerja di sebalik tabir, mengeluarkan kata-kata: “Mewakili Malaysia adalah satu penghormatan, bukan satu bebanan.”

Beliau mengeluarkan amaran kepada barisan pemain negara yang mengecewakan harapan penyokong. Tiada seorangpun wakil negara melepasi peringkat suku akhir.

Wakil BAM yang melangkah sejauh itu ialah beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang tewas kepada pasangan juara dunia 2021, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Beregu lelaki yang muncul juara dunia tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tersangkut di pusingan kedua selepas tewas kepada Liu Yuchen-Qu Xuanyi.

Kekalahan pasangan beregu wanita No.6 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, yang juga juara Terbuka Perancis tahun lalu, di tangan Gabriela-Stefani Stoeva di pusingan pertama turut mengundang keresahan peminat badminton negara memandangkan ia kali pertama sejak 2015 Malaysia tidak mempunyai sebarang wakil di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia.

pasangan beregu wanita keenam dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut tersingkir awal di Terbuka Malaysia.

Kenyataan Viktor Axelsen yang memuji kekebalan Datuk Lee Chong Wei di tempat sendiri di Axiata Arena seolah-olah menceritakan bahawa wakil-wakil kategori perseorangan lelaki negara tidak lagi menerbitkan rasa gerun dan hormat kawan dan lawan.

Berani mengambil tanggungjawab, jangan berselindung dan berkorban antara bait-bait perkataan yang Michelle gunakan bagi merumuskan prestasi skuad badminton di Terbuka Malaysia.

Namun sesuai dengan latar belakangnya, kenyataan Michelle tidak harus dihadkan kepada atlet badminton.

Mewakili Malaysia adalah satu penghormatan yang harus dipupuk, dibelai dan dibela sepenuh jiwa. Kita faham setiap atlet ada pasang surutnya namun mereka harus menerima hakikat, jalan hidup yang mereka pilih menjadikan mereka golongan elit.

Ke mana sahaja kaki mereka melangkah, mereka membawa nama Malaysia.

Sama ada menghayun raket, memakai sepatu bola, melentukkan badan, melakukan terjunan, mengayuh basikal mahupun meluncur ais, mewakili Malaysia adalah satu penghormatan buat segelintir individu bergelar atlet negara.

Dalam menerima penghormatan itu, ada harga yang harus mereka bayar. Pengorbanan dalam pelbagai bentuk satu daripadanya.

Yang jelas, kenyataan Michelle harus merobek angan-angan atlet yang mahu menikmati pulangan tanpa membuat pelaburan sewajarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya