SWCorp arah sisa binaan dilupus di tiga lokasi

SWCorp arah sisa binaan dilupus di tiga lokasi

ANGGOTA penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan memantau dan memeriksa tapak pembuangan sampah haram di sekitar Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: SWCorp Wilayah Persekutuan mengarahkan semua sisa binaan di Kuala Lumpur dibawa dan dilupuskan di tiga lokasi di sekitar Selangor mulai 1 Januari lalu.

Ia termasuk di Tapak Pelupusan Lengai Kuang (Rawang), Tapak Pelupusan Lengai Dengkil (Sepang) dan Tapak Pelupusan Sungai Sabai, Kalumpang (Hulu Selangor).

Pengarah SWCorp Wiayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, sebelum ini, tapak pembuangan sisa terdekat bagi Kuala Lumpur iaitu di Sungai Kertas (Gombak) sudah ditutup pada 31 Disember lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengingatkan pemilik bangunan mematuhi arahan berkenaan dan tidak melupuskannya di tapak pembuangan sampah haram.

“Kami akan meningkatkan operasi penguatkuasaan dan intipan bagi memastikan arahan itu dipatuhi sebaik mungkin.

“Pembangunan di Kuala Lumpur adalah amat pesat, malah kami kerap menerima aduan sampah haram terutama dari jenis sisa binaan.

“Tahun lalu, sebanyak 42 hotspot sampah haram dilaporkan di mana 29 daripadanya adalah hotspot pembuangan sisa binaan dengan jumlah keseluruhan sisa binaan dilupuskan sebanyak 326 tan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, siasatan menunjukkan, jumlah sisa binaan mendominasi tapak pembuangan haram itu berbanding keseluruhan 344.3 tan sisa sampah.

Ummi Kalthum berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan memandangkan hotspot pembuangan sampah haram dijangka bertambah dengan penutupan tapak pelupusan sedia ada.

Menurutnya, pemilik bangunan juga perlu memastikan kontraktor yang dilantik untuk melupuskan sisa binaan itu mempunyai lesen sah dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) supaya sisa dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

“Kos pembersihan bagi sampah haram adalah tinggi dan bagi mengurangkan kos tersebut, SWCorp WP sentiasa melaksanakan intipan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah secara haram di Kuala Lumpur.

“Mereka yang tertangkap akan disiasat mengikut Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.

“Pelaku yang disabitkan akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekaii,” katanya.

Katanya, SWCorp WP memohon kerjasama semua pihak untuk membuat aduan sampah saham atau apa-apa sahaja aduan di bawah skop perkhidmatan SWCorp ke talian Hotline 1800887472, 03-2245 9292, [email protected] atau melalui sistem aduan di https://swcorp.spab.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN