PETALING JAYA: Serbuan atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dengan isu ‘mafia korporat’ telah membawa sitaan dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing dan beberapa dokumen.
Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, siasatan masih berjalan dan nilai sitaan barangan terbabit masih belum ditentukan.
“Antara yang disita adalah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing dan beberapa dokumen disita menerusi serbuan ke atas beberapa premis Jumaat lalu.
“Kes disiasat membabitkan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) akta pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram 2001,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) ketika dihubungi enggan menggulas lanjut berkaitan siasatan.
Terdahulu PDRM mengesahkan serbuan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dengan ‘mafia korporat’.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan membabitkan
Polis juga telah mengambil tindakan di beberapa premis yang berkaitan dengan individu dikenali sebagai Victor.
Sebelum itu, media melaporkan sejumlah premis milik ahli perniagaan itu diserbu SC dan PDRM serta beberapa dokumen disita bagi membantu siasatan.
Susulan itu Victor dilapor berkata pihaknya menafikan pembabitan dirinya dalam mafia korporat seperti yang digembar gemburkan.
Menerusi kenyataan emel kepada agensi berita Bloomberg, dia tidak menafikan mengenai kewujudan kumpulan itu namun menafikan pembabitannya.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Kabinet mengarahkan PDRM dan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan manipulasi korporat berkenaan.
Arahan Kabinet itu dibuat di tengah-tengah gesaan meluas termasuk daripada menteri kanan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg bulan lalu.- UTUSAN










