Pengutip besi buruk dihukum gantung bunuh pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Pengutip besi buruk dihukum gantung bunuh pengawal keselamatan

R. SARAVANAN dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang pengawal keselamatan, lapan tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengutip besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Saravanan, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K. Gobi Nathan, 44, di belakang sebuah restoran di Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor, Ipoh pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang, 5 Julai 2015.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T. Vijayandran.

Sepanjang prosiding kes bermula Disember 2021 seramai tujuh saksi pendakwaan telah dikemukakan dengan pembelaan memanggil lima saksi.

Sejurus prosiding berakhir, Saravanan yang pada mulanya kelihatan tenang dilihat menangis sambil memeluk seorang wanita dipercayai ibunya sebelum dibawa ke lokap.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal keselamatan maut dengan kesan kecederaan parah di kepala dan kedua-dua tangan akibat ditetak oleh dua suspek bersenjatakan parang.

Kejadian di belakang sebuah restoran itu berlaku ketika mangsa dikatakan datang ke kawasan tersebut untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai sebelum dikejar suspek hingga ke lorong berkenaan.

Mangsa yang berlumuran darah cuba melarikan diri berikutan penemuan kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya