Indonesia belum masuk fasa penurunan reproduktif - Jokowi - Utusan Malaysia

Indonesia belum masuk fasa penurunan reproduktif – Jokowi

JOKO WIDODO 

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yakin republik ini belum memasuki fasa penurunan reproduktif ekoran kadar pertumbuhan penduduk negara itu masih meningkat.

Menurut beliau, kadar kesuburan penduduk Indonesia adalah pada purata 2.1 kelahiran anak bagi setiap wanita.   

“Seramai 4.8 juta bayi lahir dalam tempoh setahun di Indonesia.

“Dalam kalangan dua juta orang berkahwin, kira-kira 1.6 juta pasangan menjadi hamil pada tahun pertama perkahwinan.  

“Ini bermakna tiada penurunan reproduktif berlaku di Indonesia,” katanya ketika berucap pada program mesyuarat kerja kebangsaan Pembangunan Keluarga, Populasi dan Perancang Keluarga di Jakarta.

Turut senada, Ketua Agensi Perancang Keluarga dan Penduduk Nasional (BKKBN), Dr. Hasto Wardoyo menyifatkan Indonesia masih jauh dari mengalami  penurunan reproduktif.

“Saya percaya Indonesia tidak mengalami masalah itu. Penurunan reproduktif yang besar bermakna orang ramai tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim, jarang situasi demikian berlaku.

“Hampir 99 peratus pasangan menyatakan mahu mempunyai anak ketika ditanya dalam satu tinjauan. 

“Ia berbeza dengan negara lain. Jadi, di Indonesia rakyat berkahwin untuk mempunyai anak,” katanya. – AGENSI     

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN