PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah akhirnya membuka mulut mempertahan suaminya, Aliff Aziz yang sebelum ini berdepan dakwaan bermain kayu tiga dengan rakan pelakon di set penggambaran drama baharunya.
Bella berkata, tindakannya mendiamkan diri sebelum ini ternyata menambahkan lagi keberanian segelintir pihak untuk mencetuskan lebih banyak spekulasi dan fitnah terhadap mereka.
“Lama kami berdiam diri. Tetapi, hari ini terpanggil untuk buat satu hantaran berkenaan headline dan artikel yang disebarkan dalam pelbagai platform media sosial hanya kerana kami tidak ingin memberikan sebarang kenyataan.
“Kami berusaha berdiam diri, tetapi makin menjadi-jadi. Ramai menyarankan kami untuk ambil tindakan dan saman, tetapi kami ada banyak lagi perkara yang perlu diutamakan.
“Kami suami isteri sekarang sibuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak yang sudah mula bersekolah dan sedang menjalani rawatan. Minta tolong jasa baik anda semua untuk hentikan penyebaran cerita tidak berasas ini,” tulisnya menerusi Instagram.
Dalam hantaran sama, Bella juga meminta agar tiada lagi spekulasi berhubung keretakan rumah tangga mereka dicetuskan pihak tertentu demi meraih keuntungan peribadi.
“Bila kami selalu muat naik gambar bersama, orang cakap jangan menunjuk sangat. Tapi, bila kami tidak kongsi, orang cakap kami bergaduh. Dengan segala fitnah yang dilemparkan, sedikit sebanyak menganggu kerja kami.
“Kami juga mohon jasa baik semua, hentikanlah spekulasi. Kami punya keluarga di Sabah, Singapura dan sahabat yang sedang bekerja dan mereka sering ditanya soal ini,” katanya.