fbpx

PU Azman berdepan empat lagi pertuduhan salah laku seksual

AZMAN Syah Alias tiba di Mahkamah Klang bagi menghadapi pertuduhannya di Klang, Selangor, hari ini. - FOTO / AFIQ RAZALI

KLANG: Penceramah selebriti, Azman Syah Alias dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja.

Bagaimanapun, Azman Syah yang dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, 41, tidak mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan pertama dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Syafeera Mohd. Said dan satu di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Di Mahkamah Sesyen, PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal dekat sebuah inap desa di Sungai Udang di sini terhadap seorang kanak-kanak berusia 16 tahun pada 20 Februari lalu.

Tertuduh kemudian didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi tersebut pada 29 Jun lalu ketika kanak-kanak terbabit berusia 17 tahun.

Bagi pertuduhan ketiga, PU Azman juga dipanggil sebagai Cik Man turut didakwa menggalakkan seorang kanak-kanak lain yang berusia 17 tahun untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp dekat sebuah rumah di Meru, Klang pada 16 Ogos tahun ini.

Justeru, bagi kedua-dua kesalahan amang seksual, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.

Bagi kesalahan komunikasi seksual pula, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 11(1)(b) akta sama yang boleh mengakibatkan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Azman Syah dituduh melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menyentuh kemaluan seorang remaja berusia 19 tahun pada 10 Jun lalu dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun.

PU Azman kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan sama ada secara terus atau melalui ejen serta lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar sementara tertuduh pula diwakili peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad.

Bagi kesemua pertuduhan, Syafeera dan Amirul Asyraf menetapkan tarikh 12 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, PU Azman diwakili peguam sama dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 dan diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah atas lima pertuduhan yang dihadapinya di bawah Seksyen 14(a) akta berkenaan di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober lalu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN