LIMA: Lima lagi penunjuk perasaan maut di Peru ketika protes ganas yang tercetus akibat penyingkiran bekas Presiden, Pedro Castillo menunjukkan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk tiga remaja maut dalam protes yang semakin meningkat sejak Castillo didakwa cuba melakukan rampasan kuasa, didakwa dan ditahan.
Seorang pegawai dari pejabat pertahanan awam mengesahkan tujuh kematian itu.
Presiden baharu Peru, Dina Boluarte mengumumkan bahawa beliau akan berusaha mengadakan pilihan raya umum dua tahun lebih awal.
Pada masa yang sama, pemimpin itu turut mengisytiharkan perintah darurat di kawasan tertentu.
Bagaimanapun, pengumuman Boluarte tidak memberi kesan memandangkan penunjuk perasaan terus menuntut peletakan jawatannya di seluruh negara.
Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan merosakkan lampu landasan dan membakar pos kawalan keselamatan sehingga memaksa lapangan terbang di bandar Arequipa ditutup selama beberapa jam sebelum polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan itu.
Hampir 100 penyokong Castillo berkumpul di hadapan balai polis di Lima menuntut bekas presiden itu dibebaskan dan kembali memegang jawatan tertinggi itu. – AFP










