Penguat kuasa perlu bersifat ihsan, bantu pengusaha IKS

Penguat kuasa perlu bersifat ihsan, bantu pengusaha IKS pasca pandemik Covid- 19

Salahuddin Ayub (duduk tengah) mengadakan sidang akhbar selepas melawat PPR Melana Indah, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan penguat kuasa kementerian berkenaan untuk bersifat ihsan terhadap peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan kecil dan bersifat dalaman.

Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan ekonomi tempatan khususnya di peringkat akar umbi dalam dibangunkan semula pasca pandemik Covid-19 ini.

“Op Terjah masih berjalan hingga 16 Januari ini, setakat ini penguatkuasa mendapati kedai-kedai runcit kecil bekalan minyak masak subsidi masih ada, bekalan tidak putus cuma ia terhad untuk diberi rakyat.

“Namun kita akui telur gred kawalan memang ada masalah bekalan dan kita akan lihat data bekalan dan cuba atasi masalah tersebut. Tetapi setakat ini kita tidak menerima aduan berlaku pelanggaran harga makanan yang serius.

“Dalam pada itu, saya mengingatkan penguatkuasa kementerian agar mengambil langkah mesra rakyat terhadap kesalahan-kesalahan kecil yang mungkin berlaku seperti tidak mempamerkan tanda harga, mengeluarkan barang kawalan secara berperingkat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong.

Menurut beliau, penguatkuasa perlu mengambil langkah awal dengan memberikan nasihat dan tunjuk ajar terlebih dahulu sebelum terus bertindak mengenakan hukuman dan denda.

“Ini penting agar IKS ini dapat kembali bangun daripada pasca pandemik. Tetapi bagi kesalahan-kesalahan besar seperti penyeludupan dan salah guna subsidi, itu tiada kompromi, akan kenakan tindakan tegas,” jelasnya.

Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) akan mengadakan mesyuarat pada 12 Januari ini bagi membincang isu kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang turut dianggotai pelbagai agensi melibatkan 11 kementerian. Perkara ini penting kerana dalam usaha menangani isu sara hidup, kita tidak boleh bergerak bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama.

“Dalam pada itu, kita juga dalam peringkat merangka kaedah terbaik bagi pelaksanaan subsidi bersasar. Sebagai contoh pengusaha IKS yang menggunakan minyak subsidi untuk operasi jualan, kita berkompromi dalam soal tersebut dan akan memikirkan kaedah terbaik, data sedang dikumpulkan namun perlu masa sebelum pelaksanaannya.

“Mungkin gunakan kad pengenalan atau kaedah lain, ini zaman digital pelbagai kaedah boleh digunakan. Namun perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu, tarikh pelaksanaannya juga bergantung kepada barisan kabinet,” ujarnya lanjut. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN