'Goodbye' jika gagal ikut cara Pan Gon

‘Goodbye’ jika gagal ikut cara Pan Gon

PAN Gon mahu pemain yang mampu sempurnakan taktikal dan strategi yang direncanakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebarang jaminan untuk mana-mana pemain untuk menganggotai senarai akhir skuad Harimau Malaya ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 jika gagal mengikuti taktikal dan strategi yang diinginkan barisan kejurulatihan.

Tidak kira seseorang pemain itu sehebat mana pun, peluang untuk membarisi senarai 23 pemain ke Piala AFF 2022 akan bergantung kepada sejauh mana pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal dan strategi mengikut model permainan yang ditetapkan.

Ketua jurulatih, Kim Pan Gon juga memberi bayangan kemungkinan ada pemain yang perlu ‘dikorbankan’ bagi memastikan pemain yang benar-benar sesuai dapat dipilih dalam senarai akhir ke Piala AFF 2022 yang akan bermula pada minggu hadapan.

“Kita beri keutamaan kepada persiapan taktikal tetapi kita juga turut menilai pemain dari segi karakter, secara taktikal, teknikal dan strategi dan sama ada mereka sesuai untuk pendekatan kita.

“Mereka juga perlu tunjukkan dinamik, kebijaksanaan, agresif seperti mana yang kita mahukan dan berdasarkan pemantauan dari aksi liga, mereka layak berada dalam skuad.

“Tetapi untuk pemilihan akhir, ia bergantung kepada pendekatan taktikal dan bukannya kemampuan individu. Jadi daripada segi strategi, mungkin ada yang perlu berkorban demi keputusan itu,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Maldives, malam ini.

Mengulas lanjut aksi berdepan pasukan di ranking ke-154 dunia itu, Pan Gon menjelaskan pertembungan itu akan menjadi medan terakhir barisan kejurulatihan untuk menilai pemain untuk membarisi skuad Piala AFF 2022.

“Semua pemain akan mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing bagi meyakinkan barisan kejurulatihan serta penyokong.

“Secara taktikalnya kita akan kekalkan permainan kita cuma ada pendekatan berbeza akan dilakukan. Kita akan lihat bagaimana pemain dapat menyesuaikan diri dengan segera,” jelasnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN