RESIPI Ayam Bhuna ini adalah merupakan makanan tradisi Bangladesh. Ia menjadi popular baru-baru ini apabila perkongsian seorang lelaki yang mempunyai rakan warga Bangladesh, sering menjamunya dengan masakan negara itu terutama Ayam Bhuna.
Siti Hasmah Abu Hasan turut mencuba resipi ini yang dikongsikan daripada akaun TikTok milik ‘Kawan Nahim’ iaitu individu yang berkongsikan dan mempopularkan menu ini di media sosial.
Kata Siti Hasmah, sekilas pandang resipi Ayam Bhuna ini seperti masakan kari atau rendang, namun memiliki rasa berbeza.
RESIPI AYAM BHUNA ALA BANGLADESH
Bahan-bahan
500 gram ayam
1 biji tomato masak ranum (dipotong dadu)
5 biji cili hijau (dibelah dua)
4 biji bawang merah (dimayang halus)
3 sudu makan minyak sapi/ Vanaspathi (guna minyak masak juga boleh)
1 biji kentang
Air asam jawa
Bahan tumbuk
4 inci halia
3 ulas bawang putih
4 inci ibu kunyit (boleh guna ginger garlic paste)
Bahan rempah kering
1/2 sudu kecil biji ketumbar
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu kecil biji lada hitam
2 helai Indian bay leave
6 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 kuntum cengkih
Bahan rempah serbuk
2 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
Cara penyediaan
1. Panaskan minyak Vanaspathi, tumis bawang merah.
2. Masukkan semua bahan rempah kering. Masukkan bahan tumbuk, tomato dan cili hijau. Tumis hingga layu.
3. Kemudian masukkan bahan rempah serbuk. Tambah sedikit air. Tumis hingga naik minyak.
4. Masukkan ayam dan kentang. Perasakan dengan gula, air dan asam jawa. Kecilkan api, masak antara 20 hingga 30 minit atau sehingga kuah kering. Boleh tutup jika sudah masak dan ingin berkuah.
5. Lebih sedap dinikmati dengan nasi putih panas, ikan masin dan ulam-ulaman.










