Adisak senjata baharu Terengganu

Adisak senjata baharu Terengganu

Adisak Kraisorn sah memperkuatkan naib juara Liga Super dan Piala FA, Terengganu musim depan.-IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn sah memperkuatkan naib juara Liga Super dan Piala FA, Terengganu FC (TFC) bagi saingan musim depan.

Kemasukan pemain berusia 31 tahun dari kelab Muangthong United itu diumumkan TFC hari ini dengan kontrak selama dua tahun sehingga hujung 2024.

Kehadiran Adisak sekaligus mengisi kekosongan kuota import ASEAN ditinggalkan pemain tengah Filipina, Manuel Ott yang menyertai Kedah Darul Aman (KDA).

“Keputusan berhijrah dari liga Thailand adalah untuk mendapatkan cabaran baru dan saya melihat saingan Liga Malaysia (Liga M) sebagai antara yang paling kompetitif di Asia Tenggara.

“TFC juga salah satu kelab terbaik di sini selain sangat dikenali di negara Thailand. Jadi ianya telah menarik minat saya untuk menyertai pasukan ini musim depan.

“Walaupun tiada pengalaman beraksi di Liga M, saya bersedia untuk mengambil peluang ini dan membuktikan keupayaan membantu TFC terutama dalam Piala AFC,” katanya.

Adisak yang kini beraksi dalam Piala AFF bersama skuad Thailand merupakan penjaring terbanyak kejohanan itu pada 2018 selain membantu negara berkenaan muncul juara edisi 2014 dan 2022.

Sepanjang 49 aksi bersama pasukan kebangsaannya, Adisak telah mencetak 19 gol sejak membuat penampilan sulung pada 2013.

Pemain berkenaan merupakan yang kedua ditandatangani TFC selepas bekas pemain sayap Melaka United, Soni Norde selain turut mengekalkan khidmat Habib Haroon di bahagian tengah.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner sebelum ini mengesahkan sedang berunding dengan dua penyerang kelahiran Croatia bagi menggantikan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN