Terbelakah nasib mangsa MH17 Khamis ini?

Terbelakah nasib mangsa MH17 Khamis ini?

SEORANG penduduk tempatan menyaksikan sebahagian bangkai pesawat MH17 yang terbakar selepas kapal terbang itu terhempas ketika melalui timur Ukraine pada 19 Julai 2014. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Belanda bakal memutuskan keputusan sama ada empat defendan yang didakwa terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang jatuh ditembak di ruang udara Ukraine pada 2014, bersalah atau tidak pada Khamis ini.

Kesemua 298 penumpang termasuk kru terbunuh apabila pesawat Boeing 777 yang melakukan perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang didakwa dibekalkan oleh Moscow di ruang udara Ukraine.

Keempat-empat tertuduh tersebut iaitu rakyat Russia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan warga Ukraine, Leonid Kharchenko berdepan penjara seumur hidup jika disabit kesalahan.

Namun, keempat-empat tertuduh berkenaan ‘masih bebas’ dan sehingga kini enggan menghadiri perbicaraan yang sudah berlangsung selama dua tahun setengah di Belanda.

Keluarga mangsa dari seluruh dunia dijangka bakal menghadiri perbicaraan terakhir tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.

“Sekiranya mereka (tertuduh) bersalah, pihak berkuasa antarabangsa perlu menahan mereka dengan apa cara sekalipun. Bukan saya sahaja, malah semua keluarga mangsa tidak boleh maafkan mereka,” kata Evert van Zijtveld yang kehilangan dua anaknya serta ibu bapa mentuanya dalam nahas tersebut.

Masih segar dalam ingatan masyarakat seluruh dunia bagaimana ladang bunga matahari di Donetsk di timur Ukraine ‘dihujani’ mayat penumpang MH17 sejurus pesawat itu berkecai ditembak peluru berpandu BUK.

Pendakwa raya menyatakan kesemua tertuduh merupakan sebahagian daripada anggota pemisah pro-Russia dan bertanggung jawab membawa peluru berpandu BUK ke Ukraine dari pangkalan tentera di Russia.

Sehingga kini, Moscow menafikan penglibatannya dalam nahas tersebut.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pendakwa raya bergantung sepenuhnya terhadap rekod perbualan telefon yang dipintas dan data telefon yang dipercayai menunjukkan lokasi tertuduh berhampiran pelancar peluru berpandu BUK.

Bahan forensik yang ditemukan dalam badan mangsa juga menunjukkan pesawat MH17 jatuh ditembak peluru berpandu BUK.

Mahkamah menyatakan, peluru berpandu BUK yang dikenal pasti menerusi beberapa imej dan bukti media sosial itu dipercayai dibawa dari Kursk, Russia.

Defendan dilaporkan mengatur supaya peluru berpandu itu dibawa masuk untuk bertempur dengan tentera Ukraine. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN