PETALING JAYA : Tiga lelaki ditahan menerusi serbuan berasingan di sekitar Cheras, dekat sini kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Hasil penahanan ketiga-tiga suspek berusia 35 sehingga 42 tahun, polis turut menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM335,630.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pada serbuan pertama, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan pada pukul 10.15 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan suspek seorang penganggur turut menemukan 381.05 gram dadah jenis MDMA dan ketamin bernilai RM4,390.
“Susulan tangkapan itu, pihak polis menyerbu sebuah lokasi di Jalan Chan Sow Lin dan merampas 13.39 kilogram kokain, serbuk MDMA dan erimin 5, serta 5,000 liter cecair MDMA dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM317,394,” katanya di sini.
Menurut beliau, serbuan ketiga dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak pada pukul 12.30 tengah malam sebelum menahan dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 42 tahun.
“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, erimin 5, pil ekstasi, kokain dan ketamin dengan nilai rampasan RM11,567, selain dua buah kereta dan wang tunai RM100.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif amphetamine dan methamphetamine dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Julai ini,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










