SUNGAI BULOH: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin berkata, beliau rela bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 kerana mahu memenangi kerusi di kawasan bandar.
Mengakui bukan mudah untuk menang di Sungai Buloh, namun katanya Barisan Nasional (BN) perlu berani bertanding di kawasan bandar.
“Saya datang kerana saya mahu memenangi kerusi bandar. Jangan beritahu saya bahawa kita melepaskan kerusi bandar ini,” katanya, merujuk kepada trend kerusi bandar beralih kepada pembangkang.
Beliau berkata demikian kepada orang ramai di sini malam tadi.
Khairy berkata, beliau bersedia untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh daripada pembangkang, walaupun ia akan menjadi tugas yang sukar.
Katanya, beliau bertanding untuk menang, walaupun Barisan Nasional telah tiga kali tewas kerusi itu kepada Pakatan Harapan (PH) sejak 2008.
“Insya-Allah, kami akan melakukan perkara yang mustahil,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, R Sivarasa dari PH mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. – UTUSAN