PETALING JAYA: Kecewa dengan segelintir penyokong yang merungut tiket perlawanan terlalu mahal, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia memberi tiket percuma untuk aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), namun ada syaratnya.
Sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melunaskan hutang RM3.93 juta, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sedia memberi tiket percuma atau menjualnya pada harga RM10.
“Nak pemain bintang. Nak stadium hebat
Nak pusat latihan 5 bintang. Nak bagus semua bagus.
“Nak pastikan bagi bonus kat pemain kalau menang tapi tiket nak harga 10 tahun lepas.
“Jadi saya secara peribadi ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yg tak lokek berbelanja untuk pasukan.

“Insya-Allah anda tak lokek berbelanja, saya selaku pemilik takkan lokek untuk pasukan TRW (The Red Warriors) kita.
“Saya sedih sebenarnya bila ada yg komen nak harga RM10. Apa anda ingat saya bayar gaji pemain RM1,500 sebulan? Apa anda ingat team TRW dapat tajaan kerajaan negeri?
“Apa anda ingat saya dapat project dapat tanah?
“Maafkan saya, jika anda rasa tiket RM18 atau RM20 pun mahal saya janji bagi anda tiket RM10 atau percuma lawan JDT jika KAFA bayar hutang saya RM3.93 juta malam ini,” tulis Norizam dalam Facebook.

Kelantan yang muncul naib juara Liga Perdana musim ini akan menerima kunjungan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, JDT dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.
TRW kemudian akan bertandang ke Johor untuk aksi timbal balik hujung minggu depan. – UTUSAN ONLINE